BANGI – Pakatan Harapan berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, apabila calonnya, Wong Siew Ki berjaya mengalahkan pencabarnya, Tan Chee Teong dari MCA dengan majoriti 18, 533 undi.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Balakong, Datuk Rosli Othman kira-kira jam 8.50 malam ini di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Demesne, Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi di sini, malam ini.
Siew Ki mendapat sebanyak 22, 508 undi manakala Tan Chee Teong dari MCA hanya memperoleh sebanyak 3, 975 undi.
Kemenangan Siew Ki tidak menjadi kebanggaan bagi PH berikutan jumlah undi diperolehinya merosot sebanyak 13,030 undi berbanding yang diperoleh penyandangnya, mendiang Eddie Ng pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu sebanyak 35,538 undi.
Kemerosotan jumlah undi yang diperolehi Siew Ki dipengaruhi faktor pengundi yang keluar mengundi hanya 43 peratus daripada 62, 219 pengundi berdaftar.
Bagaimanapun, sebelum ini SPR menyasarkan 70 hingga 80 peratus pengundi akan keluar mengundi.
Chee Teong juga gagal menambah jumlah undi yang diperolehi calon MCA terdahulu, Lim Chin Wah iaitu sebanyak 5, 874 undi, apabila sekadar mampu mengumpul 3,975 undi iaitu berkurangan sebanyak 1,899 undi.
Kekurangan jumlah undi Siew Ki menimbulkan tanda tanya, kenapa penyokong PH seramai 41, 768 tidak keluar mengundi.
DUN Balakong memiliki 62, 219 pengundi berdaftar dan hanya 87.83 peratus daripadanya telah keluar mengundi pada PRU14 lalu.
PRK Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya, Eddie Ng pada 20 Julai lalu akibat kemalangan jalan raya.
Turut hadir pada majlis pengumuman keputusan PRK malam ini adalah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Siew Ki dan Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar. – MalaysiaGazette