Tun Hanif Omar

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar yang pernah mencetuskan rasa kontroversi kerana memenjarakan ahli politik veteran, Lim Kit Siang pada Mei 1969.

Ahli Parlimen Gelugor merangkap peguam Kit Siang, Ramkarpal Singh dalam kenyataan sebentar tadi menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat Hanif di bawah Akta Hasutan 1948 kerana membuat dakwaan perkauman.

Jelas Ramkarpal, kenyataan yang dikeluarkan oleh Hanif sebenarnya hanya berniat untuk bukan sahaja melaga-lagakan kaum terutamanya masyarakat Cina dan Melayu tetapi juga untuk memburukan imej Kit Siang.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau kononnya DAP pernah minta Semenanjung Malaysia dibahagikan antara Melayu dan Cina adalah tidak berasas dan sengaja mahu melaga-lagakan antara satu sama lain.

“Sebelum ini saya sudah keluarkan surat untuk Hanif namun beliau tidak menjawab atau menafikan kenyataan sebelum ini walaupun kata dua untuk berbuat demikian dalam tempoh 48 jam yang berakhir pukul 12.30 tengahari hari ini.

“Justeru itu, saya akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memulakan proses perundangan dengan mengeluarkan notis untuk meminta Hanis yang akan diberikan kepadanya pada Rabu ini selepas cuti umum, antara lain memohon maaf dan menarik balik kenyataannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ramkarpal yang juga merupakan Pengerusi Biro Perundangan DAP Pusat, sebelum ini pihaknya juga mencadangkan sejumlah ganti rugi yang dipersetujui kedua-dua pihak dalam tempoh 14 hari selepas beliau mendapat surat itu.

“Kegagalan berbuat demikian, tindakan undang-undang yang diambil terhadapnya kerana mengeluarkan kenyataan fitnah,” tegasnya.

Hanif pada Khamis lalu dipetik Sinar Harian sebagai berkata bahawa beliau memenjara Lim ketika menjadi ketua polis kerana DAP mahu membahagikan semenanjung Malaysia mengikut kaum.

“Masa itu Parti Perikatan bentuk Barisan Nasional sebab pada masa itu negara kita hampir hancur. DAP pula minta Malaya dibahagi kepada dua.

“Pantai Timur kepada Melayu dan Pantai Barat kepada Cina. Jadi jawapan saya macam mana? Saya masukkan Lim Kit Siang dalam penjara.

“Dua tahun dia dalam tu. Itu cara dia cara Hanif ambil tindakan semasa menjadi Ketua Polis Negara,” katanya dipetik sebagai berkata pada suatu majlis di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam.

Ketika Kit Siang ditahan di bawah  ISA selepas rusuhan 1969, Hanif belum lagi menjadi ketua polis negara. 

Kit Siang yang kini Ahli Parlimen Iskandar Puteri merangkap Penasihat DAP kemudian bertindak memberikan tempoh 48 jam kepada Hanif untuk memberi penjelasan untuk menyokong dakwaan tersebut. – MalaysiaGazette