Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Segelintir pegawai kerajaan didakwa sedang melakukan ‘intipan’ terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan ayahandanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Tunku Ismail yang membuat kenyataan terbuka itu dalam laman sosialnya mendakwa, beliau mendapat maklumat melalui seorang pegawai kerajaan bahawa segelintir warga siber telah diletakkan dalam laman sosial ‘Facebook’ rasmi beliau dan Sultan Ibrahim.

Jelas beliau, laman sosial mereka sedang dalam ‘pemerhatian’ pihak tertentu menggunakan alat perisikan Israel berteknologi tinggi dan ramai ‘cybertrooper’ diletakkan pada laman JDT dan peribadi mereka, seperti Official Sultan Ibrahim dan HRH Crown Prince of Johor.

“Ini sangat tidak baik. Intipan ini dilakukan kerana rasa tidak senang ‘sesetengah pihak atasan’.

“Teknologi untuk mengintip ini digunakan sebelum ini ketika Pilihan Raya Umum untuk bantu perang siber. Tetapi kini saya diberitahu kini ianya digunakan untuk melakukan intipan terhadap kami.

“Saya tahu kerajaan terdahulu pernah gunakan ia oleh kerajaan terdahulu tetapi kini ini tidak sepatutnya berlaku ketika zaman Malaysia Baharu. Tiada tempat untuk pengalaman sebegini kini,” katanya.

Tambah beliau, baru-baru ini beberapa orang pegawai kerajaan telah berjumpa dengan saya dengan menyatakan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Unit Khas dan Pejabat Perdana Menteri.

“Bila ia berkaitan dengan keselamatan negara, saya berpendapat ia adalah sesuatu yang sangat berharga. Namun, peralatan ini tidak patut diseleweng oleh mana mana pihak untuk kepentingan sendiri,” tegasnya.

Tambah Tunku Ismail, beliau tidak akan berdiam diri jika ada parti yang ingin mengambil kesempatan memecahbelahkan perpaduan bangsa Johor yang unik.

Dalam kenyataan tersebut, Tunku Ismail turut menjelaskan tidak mempunyai apa-apa masalah dengan kerajaan dan Johor sentiasa menyokong penuh kerajaan yang memerintah. – MalaysiaGazette