Raja Kamarul Bahrin
Raja Bahrain menunjukkan risalah fitnah yang dilemparkan kepada PH Terengganu dalam sidang akhbar hari ini.

KUALA TERENGGANU – Pakatan Harapan (PH) Terengganu kecewa dan kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menabur fitnah kononnya PH Terengganu membantah hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pasangan lesbian pada 3 Sept lalu.

Pengerusi PH Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata pada hari hukuman sebatan itu dijalankan, satu risalah palsu telah diletakkan di kereta milik orang awam yang terletak di luar perkarangan mahkamah.

“Risalah itu mengandungi kenyataan kononnya dari Urusetia Pakatan Harapan yang menegaskan hukuman itu sebagai satu bentuk penindasan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sedangkan pendirian kita jelas untuk menghormati dan mematuhi apa sahaja undang-undang yang telah diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

“Adalah amat jelas bahawa fitnah itu hanya bertujuan menimbulkan kebencian dan kemarahan rakyat terhadap PH. Malah ia adalah satu perancangan yang sangat rapi dan tersusun untuk memfitnah PH Terengganu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Raja Bahrin yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata susulan itu, satu laporan polis telah dibuat Setiausaha Amanah Terengganu, Zulkifli Ali di Ibu Pejabat Polis Dungun pada 5 Sept supaya polis menyiasat mengenai penyebaran risalah palsu tersebut. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast