Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memastikan pelaksanaan gaji minima RM1,500 yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu ditunaikan sepenuhnya pada masa akan datang.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN), Faiz Fadzil berkata, langkah PH menyeragamkan gaji minima seluruh Malaysia kepada RM1,050 bermula 1 Januari 2019 adalah baik meskipun tidak menepati jumlah yang dijanjikan.

“Kenaikan tambahan pada masa mendatang amat penting untuk dipertimbang dan dilaksanakan oleh kerajaan. Tenaga kerja di Sabah dan Sarawak pula menerima gaji minima sama di Semenanjung Malaysia menerusi peningkatan sebanyak RM130.

“Ini selaras dengan hasrat PH menjaga kebajikan rakyat tanpa sebarang diskriminasi dan langkah ini dapat mengurangkan jurang pendapatan.

“Menerusi kadar baharu pada RM5.05 sejam, gaji minima di Sabah dan Sarawak akan meningkat secara signifikan melebihi 14 peratus berbanding kadar RM4.42 sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu juga menegaskan, kerajaan tidak boleh meningkatkan kadar gaji minimum secara mendadak sesuai dengan keadaan ekonomi semasa sama ada domestik mahupun antarabangsa.

“Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar lebih rendah pada 2018 dan 2019 disebabkan faktor “technical high base effect”, pengukuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS), “perang perdagangan” AS-China dan juga aliran keluar dana daripada pasaran baru muncul (emerging market).

“Tindakan tergopoh-gapah meningkatkan gaji minima secara mendadak boleh merosotkan ekonomi yang mula berkembang secara perlahan.

“Ini akan menyebabkan peningkatan kos perniagaan boleh menjejaskan pertumbuhan tenaga kerja negara ini,” katanya.

Katanya, peningkatan gaji minima yang dilaksanakan Kerajaan PH sebenarnya lebih tinggi daripada pertumbuhan purata perbelanjaan penggunaan bulanan isi rumah di Sabah dan Sarawak.

“Gaji minima di Semenanjung Malaysia telah dinaikkan daripada RM4.81 sejam kepada RM5.05 sejam, pertumbuhan sebanyak 5 peratus.

“Untuk perbandingan, negeri-negeri di Semenanjung Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan purata perbelanjaan penggunaan bulanan isi rumah antara 4.3 – 10.4 peratus setiap tahun, antara 2014 dan 2016,” katanya.

Tambahnya, peningkatan kadar gaji minima perlu selari dengan pertumbuhan produktiviti ekonomi negara.

“Berdasarkan data Pertubuhan Buruh Antarabangsa, pertumbuhan produktiviti pekerja di Malaysia adalah tidak memberangsangkan.

“Antara 2011 dan 2017, produktiviti buruh Malaysia hanya meningkat pada purata 1.7 peratus setiap tahun. Manakala, purata pertumbuhan produktiviti buruh negara-negara berpendapatan sederhana tinggi adalah 3.8 peratus setiap tahun.

“Sebarang kenaikan gaji tanpa pertumbuhan produktiviti sepadan akan meningkatkan kos perniagaan dan seterusnya menyumbang ke arah inflasi lebih tinggi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast