Kejadian fenomena air laut pasang besar dua tahun lalu dijangka berulang lagi bermula Isnin ini.
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Tiada limpahan air berlaku di kawasan pesisir pantai di lima daerah di Selangor yang berisiko tinggi dilanda fenomena air pasang besar pada awal pagi ini dan keadaan masih baik serta terkawal, menurut Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Menurut kenyataan unit itu, ban ataupun benteng di pesisir pantai adalah kukuh dan berada dalam keadaan baik selain tiada berlaku rebakan berskala besar.

Bagaimanapun, ban kedua di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam hampir rebak dan putus namun lokasi berisiko dinaiki air tidak melibatkan kawasan penempatan.

“Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran telah mengambil tindakan menutup pembetung air daripada masuk ke kawasan kampung. Keadaan adalah selamat dan terkawal,” menurut kenyataan berkenaan.

Daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diletakkan dalam persediaan peringkat tinggi bagi menghadapi fenomena air pasang besar kerana berisiko tinggi mengalami banjir sekiranya berlaku angin kencang dan hujan lebat.

Gelombang pertama fenomena air pasang diramal bermula semalam hingga esok di pesisiran pantai negeri Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.5 meter.

Kenyataan itu turut menyebut kemuncak air pasang di pesisiran pantai negeri Selangor dicatatkan di Pelabuhan Klang pada kadar 5.5 meter kira-kira pukul 7.06 pagi, namun keadaan masih terkawal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast