Zamil Ibrahim
Zamil Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas Pemimpin Pusat PKR Zamil Ibrahim kembali semula ke pangkuan UMNO demi menyatukan semula bangsa Melayu yang berpecah hari ini.

Bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanahair (Kita) itu juga menegaskan, tindakan pulang semula ke UMNO tidak dipengaruhi agenda politik peribadi.

“Saya kembali menyertai UMNO yang saya telah tinggalkan semenjak September 1998 genap 20 tahun semasa krisis diantara Tun M dan Anwar Ibrahim dan kini mahu kembali bersetia selama lama untuk Melayu dibawah Payung UMNO.

“Ia hanyalah demi bangsa Melayu. Pada pandangan saya Melayu kini berada di persimpangan yang amat genting sekali.

“Atas rasa tanggungjawab terhadap bangsa Melayu serta Islam,, maka saya merasakan adalah perlu untuk saya dan rakan-rakan yang menyepi sebelum ini wajib bangkit untuk bersama-sama mempertahankan Melayu di bawah bumbung UMNO,” katanya dalam sidang media di Menara Datuk Onn Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Beliau hadir menyerahkan borang keahliannya diiringi penyokongnya kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam.

Katanya, tindakan mempertahan dan membangkitkan semangat Melayu dengan UMNO tidak bermakna bermusuh dengan bangsa-bangsa lain yang telah merasai akan kebaikan Melayu di dalam UMNO sebelum ini berjaya membela bangsa-bangsa lain sewaktu memerintah negara selama 61 tahun.

“Kita merasakan seolah-olah bangsa Melayu dan Islam sedang dipermain-mainkan di bawah kerajaan baharu.

“Ya betul Tun Mahathir adalah Islam dan Melayu tetapi secara peribadi saya berpendapat Tun M hanyalah umpama sebilah pisau yang memotong bangsa Melayu atau Kesatuan Melayu itu sendiri dan tuan punya pisau ialah Lim Kit Siang.

“Jelas sekali Kit Siang berjaya memecah-belahkan Melayu melalui Tun M yang saya katakan sebagai Pisau tadi,” dakwanya.

Kini dengan kerjasama dengan Pas, beliau percaya bangsa Melayu akan lebih diawasi serta dijaga dengan berjaya.

Justeru katanya, beliau tidak mempercayai PKR, serta Amanah yang terang-terangan amat takut serta kerap kali mengikut telunjuk DAP yang pernah suatu ketika dahulu dilabel sebagai parti rasis oleh Dr Mahathir.

“Lepas ini saya akan berkempen ke seluruh negara, di setiap daerah dan negeri untuk memastikan semua bekas ahli dan pemimpin yang pernah meninggalkan parti ini kembali ke pangkuan dan bersatu semula.

“Harap mereka diterima baik tanpa dimarah atau caci hamun kerana mereka juga suatu ketika dahulu menentang pemerintahan Tun M,” katanya.- MalaysiaGazette