Pelabur asing menjual sejumlah AS$704.3 juta ekuiti minggu lalu berbanding AS$705.4 juta pada minggu sebelumnya. - MIDF Research
Menara MIDF di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pelabur-pelabur asing melupuskan sejumlah RM663.4 juta ekuiti dalam pasaran minggu lalu – kedudukan tertinggi dalam sembilan minggu dan merupakan 40 kali lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata, dana-dana antarabangsa membeli sebanyak RM18.3 juta ekuiti tempatan pada hari Isnin dan menjualnya secara perlahan-lahan sebanyak RM41 juta pada hari Selasa.

Pada hari Rabu, tahap aliran keluar dana asing meningkat kepada RM369.9 juta, paras yang tidak pernah dicatatkan sejak 6 Julai 2018 disebabkan kebimbangan Presiden Donald Trump akan mengenakan tarif tambahan sebanyak AS$200 bilion ke atas import China.

Menurut firma penyelidikan itu, pasaran serantau lain seperti Korea Selatan, Taiwan, India, Thailand, Indonesia dan Filipina turut menyaksikan melupusan dana asing.

Ia turut mengakibatkan ringgit susut 6.11 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat kepada RM4.14, paras terendah dalam tempoh sembilan bulan.

Jualan asing di bursa susut kepada RM209.7 juta pada hari Khamis, membantu meningkatkan bursa tempatan sebanyak 0.17 peratus selepas lima hari berturut-turut merekodkan kerugian.

MIDF Research menambah, jualan asing berkurangan kepada RM61 juta pada hari Jumaat, yang mana FBM KLCI sedikit meningkat sebanyak 0.03 peratus didorong oleh waktu-waktu singkat sebelum cuti selama empat hari.

Malaysia masih mengekalkannya kedudukan sebagai negara kedua paling rendah merekodkan aliran keluar asing dalam kalangan empat pasaran ASEAN yang dipantau. – MalaysiaGazette