Datuk Danyal Balagopal Abdullah
Bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah bercakap pada sidang media khas mengenai penkosongan kerusi Parlimen bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 12 SEPTEMBER 2018.

PETALING JAYA – Datuk Danyal Balagopal Abdullah menyatakan komitmennya menjadi mata dan telinga kepada calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun tidak lagi bergelar wakil rakyat.

Beliau berkata tindakannya mengosongkan kerusi P132 kepada Ketua Umum PKR itu bukan satu pengkhianatan kerana penglibatannya dalam politik semata-mata mahu membela rakyat termiskin di kawasan itu.

“Perkataan khianat terlalu berat bagi saya, saya berkempen berkhidmat sejak beberapa tahun lalu

“Saya datang dari kawasan luar bandar, saya lihat kemiskinan, 60 tahun kita merdeka saya masih tidak percaya masih ada rakyat masih hidup dalam kemiskinan.

“Bila saya melepaskan jawatan ini, saya bukan berhenti daripada amanah ini, saya akan terus berkhidmat kepada rakyat

“Saya tidak berhenti daripada rakyat, saya masih berada di Port Dickson dan saya akan jadi mata dan telinga Datuk Seri Anwar di peringkat akar umbi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Terdahulu Danyal Balagopal mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Port Dickson berkuat kuasa serta-merta.

Danyal Balagopal juga telah menyerahkan notis peletakkan jawatan itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof hari ini.

Beliau antara beberapa ahli Parlimen PKR yang sebelum ini menawarkan kerusi Parlimen kepada Anwar bagi membolehkan bakal Perdana Menteri kelepan itu bertanding dalam pilihan raya dalam masa terdekat.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula berkata, pengorbanan Danyal Balagopal bukan satu perkhianatan kepada rakyat selagi ia tidak menyeleweng cukai rakyat.

“Khianat ini kalau kita curi duit rakyat, kalau kita ada kedudukan, kita kayakan diri, kalau kita ada kuasa kita tekan rakyat.

“Kena ingat sebelum ini lima tahun lepas Datuk Seri Anwar, beliau adalah ahli Parlimen, kemudian beliau direntap dan diseret ke penjara.

“Jadi peluang beliau untuk berkhidmat kepada rakyat dinafikan selama di dalam penjara,” katannya.

Katanya lagi, kini Anwar  telah dibebaskan daripada penjara dan beliau bebas mengambil bahagian dalam PRK dan menyertai Parlimen.

“Ada dalam kalangan ahli Parlimen PKR berpendapat sekiranya diberi laluan kepada Datuk Seri Anwar, beliau akan dapat menjayakan sebahagian daripada misi besar iaitu konsensus PH.

“Niat murni itu saya tidak fikir ia satu pengkhianatan kerana ia adalah proses yang sah untuk Datuk Seri Anwar.

“Jika beliau menang akan mewakili kawasan itu dan terus memberi khidmat seperti mana Datuk Danyal memberi khidmat selama ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette