Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kiri) diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim (kanan) menunjukkan gambar lesen terbang yang dijual oleh pihak tidak bertangungjawab di laman sosial pada sidang media khas mengenai penjualan lesen terbang di Kementerian Pengakutan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 SEPTEMBER 2018.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kiri) diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim (kanan) menunjukkan gambar lesen terbang yang dijual oleh pihak tidak bertangungjawab di laman sosial pada sidang media khas mengenai penjualan lesen terbang di Kementerian Pengakutan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 SEPTEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Lebih 14,417 pemegang lesen terbang atau lesen memandu yang diperoleh
tanpa menyikuti prosedur di negara ini diberi tempoh sehingga 13 Oktober ini untuk tampil menyerahkan dokumen palsu yang dimilikinya.

Menteri Pengangkutan berkata, mana-mana pemegang lesen terbang itu yang gagal berbuat demikian akan dicari sehingga lubang cacing dan dikenakan tindakan berat.

Anthony Loke berkata, kesalahan serius itu terbongkar menerusi tangkapan 12 orang pegawai tertinggi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk Timbalan Pengarah Gred 44 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam serbuan pada 4 September lalu.

Katanya, sindiket itu beroperasi sejak dua tahun lalu dengan menawarkan lesen terbang tanpa menduduki ujian komputer dan memandu secara sah di sekolah memandu dengan kadar RM2,000 hingga RM3,500 seorang.

Dengan nada terkejut, beliau berkata, majoriti pemegang lesen terbang itu adalah warga negara tempatan manakala warga China paling ramai memiliki lesen haram di negara ini iaitu seramai iaitu 3,897 orang bagi tahun 2017 dan 3,989 orang sehingga 13 September ini.

“Saya ingin memberi amaran kepada kesemua individu ini, kalau sesiapa yang beli lesen ini anda diberi peluang tampil memulangkannya kepada JPJ dalam tempoh sebulan sehingga 13 Oktober ini.

“Jangan ingat anda tidak bersalah, membeli lesen memandu tanpa menjalani ujian sah kesalahan serius tidak boleh dikompromi kerajaan Malaysia. Sila tampil segera dan memulangkan lesen menandu terbang itu dan beri kerjasama menjadi saksi dalam kes pendakwaan mengelak anda bebas tindakan.

“Kalau tidak beri kerjasama, kerajaan akan mencari kamu dan bertindak dengan hukuman berat yang mana segala identiti kamu menerusi data JPJ sudah ada di tangan kami,” tegas beliau dalam sidang media khas di pejabat kementerian di sini hari ini.

Tambah Anthony, setakat ini, seramai 12 orang pegawai JPJ dari Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak ditangkap dan direman JPJ bagi membantu siastan tindakan lanjut.

Dalam perkembangan sama, katanya, proses urusan percetakan lesen terbang itu dikenalpasti berlaku di lapan negeri iaitu Sabah Sarawak, Kuala Lumpur, Pahang, Pulau Pinang, Perak Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.

Justeru, dalam sidang media sama, beliau mendedahkan sindiket itu menjalankan modus operandi dengan menawarkan iklan menerusi runner atau orang tengah dalam media sosial sebelum pemohon berminat dan membayar 50 peratus caj yang dikenakan terlebih dahulu.

“Seterusnya, runner akan memasukkan wang dan berurusan dengan pegawai JPJ (A) yang akan memasukkan bayaran sebelum berurusan dengan pegawai JPJ (B) yang akan memasukkan data pemohon lesen menggunakan prosedur penukaran Lesen Memandu Luar Negara.

“Penyelia anggota pejabat pegawai B akan mengesahkan dan meluluskan data yang dikunci masuk sebelum memaklumkan kepada anggota pejabat A bahawa urusan itu selesai sebelum maklumat itu disampaikan kepada runner.

“Runner pula selepas itu akan menuntut baki bayaran dari pemohon dan lesen akan dicetak di mana-mana lokasi setelah maklumat sudah ada dalam sistem JPJ sebelum ia diserahkan kepada pemohonnya,” katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati ada yang mendakwa dia mempunyai lesen memandu di luar negara pada hal dia tidak pernah ada pasport dan tidak pernah pergi ke luar negara.

“Warga China pula akan mendapatkan lesen di negara dia dengan mudah menggunakan lesen terbang yang diperolehi di sini,” katanya.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, bagi membendung masalah berkenaan, JPJ sedang bekerjasama dengan pihak SPRM, Jabatan Siasatan Komersial Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Justeru jelas beliau, satu jawatankuasa khas siasatan dalaman ditubuhkan untuk kes berkenaan dan mana mana pihak yang didapati memegang lesen terbang itu akan dipanggil temusiasat dibawah Seksyen 114 APJ 1987 dan boleh dihukum minima denda RM5000 atau penjara atau kedua-duanya.

Katanya, setiap kedutaan negara luar di negara ini diminta menasihati warga masing masing supaya tidak terlibat dalam sebarang urusan haram seperti ini dan tampil menyerah diri.

Ditanya mengenai nasib pegawai JPJ yang direman, Anthony menegaskan, JPJ diarahkan menggantung kerja sementara kepada suspek walaupun tempoh reman dan tidak dibenarkan kembali bertugas.

“Biasanya mereka boleh balik ke tugas asal atau ditempatkan di jabatan lain dengan gaji separuh apabila tamat reman tetapi saya mengarahkan JPJ supaya mereka digantung walaupun belum didakwa di mahkamah dan sekiranya didakwa dan disabit kesalahan maka mereka akan dibuang kerja selain hukuman mahkamah.

“Ini mesej tegas pentadbiran Pakatan Harapan yang sangat serius terhadap salah laku dan rasuah melibatkan pegawai kerajaan,” tegas beliau.

Anthony berkata, perbuatan sindiket seumpama membawa implikasi kepada hasil perolehan negara selain pemberian lesen terbang kepada orang yang tak pernah dan tidak layak memandu satu perbuatan khianat yang tidak boleh dimaafkan.

“Bayangkan mereka memandu bahaya dan menyebabkan maut, kamulah (pegawai terlibat) pembantu pembunuhan itu,” bidas beliau.- MalaysiaGazette