PELABUHAN KLANG – Jabatan Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa menangguhkan pemilihan parti itu kepada satu tarikh lain bagi memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, ia bagi memastikan pemimpin dan ahli parti itu dapat memberi tumpuan sepenuhnya untuk memenangkan calonnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya ingin meminta Pengerusi JPP Datuk Rashid Din dan pasukannya pertimbang supaya tarikh-tarikh pemilihan parti itu dijadualkan semula.
“Eloklah pimpinan dan anggota memberi tumpuan sepenuhnya kepada PRK Port Dickson.
“Tarikh pemilihan parti itu akan berlangsung (mula) pada 22 September, negeri pertama adalah Pulau Pinang dan Kedah, kemudian berlangsung pada 23 September dan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif FGV-MPOB Dalam Menerajui Penggunaan B10 di Felda Transport Services Sdn Bhd di Pandamaran, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Industri Utama, Teresa Kok serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FGV Holdings Bhd., Datuk Zakaria Arshad.
Kelantan dan Terengganu menjadi dua negeri terawal untuk para ahlinya mengundi pada Pemilihan PKR 2018 iaitu pada 14 September ini manakala Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang dijadualkan pada keesokannya.
PKR dalam laman sesawang rasminya, memberitahu, tarikh pemilihan bagi ahli-ahli di Johor pula pada 16 September ini sementara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 17 September 2018.
Selangor diberikan dua tarikh pemilihan mengikut zon iaitu Selangor 1 pada 29 September manakala Selangor 2 pada 30 September ini.
Sarawak pula dijadualkan pada 6 Oktober manakala Sabah dibahagikan kepada dua tarikh iaitu Sabah 1 pada 13 Oktober sementara Sabah 2 pula pada 14 Oktober 2018,” menurut laman sesawang itu.
Bagi zon utara, Pulau Pinang dan Kedah pada 22 September manakala Perak dan Perlis keesokannya iaitu 23 September 2018.
Shamsul Iskandar juga berkata, penangguhan Pemilihan PKR 2018 itu tidak melanggar Perlembagaan PKR bahkan jawatan tertinggi parti itu masih sah sehingga tahun depan.
“Saya percaya dari segi undang-undang pimpinan parti mempunyai sehingga tahun depan dari segi keabsahan atau legitimacy kita punya jawatan (sah) sehingga tahun depan.
“Oleh kerana PRK ini lebih penting dan tidak berlaku banyak kali dan inilah sekali dan elok kita tangguhkan semua pemilihan ini dan kita berikan tumpuan kepada PRK Port Dickson,” katanya lagi. – MalaysiaGazette