KUALA LUMPUR – Sebuah pesawat Malaysia Airlines terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Heathrow di London semalam kerana masalah teknikal.
Pesawat MH1 itu dalam penerbangan dari London ke Kuala Lumpur pada pukul 9.58 waktu tempatan.
Menurut Malaysia Airlines, pesawat berkenaan terpaksa berpusing untuk mengurangkan bahan api bagi mengurangkan berat pesawat sebelum melakukan pendaratan kecemasan.
Pesawat itu telah mengelilingi saluran Inggeris untuk membuang bahan api, prosedur untuk mengurangkan berat pesawat sebelum pendaratan kecemasan.
Katanya, pesawat itu mendarat dengan selamat pada pukul 11.17 malam dan sedang menjalani pemeriksaan.
Tambah syarikat penerbangan itu, memandangkan pesawat berkenaan mengambil masa untuk dibaiki, penumpang yang terjejas dipindahkan ke penerbangan MH3 pada hari ini dan penerbangan lain.
Pihak syarikat itu telah menyediakan penginapan, pengangkutan ke hotel dan makanan untuk semua penumpang yang terjejas.
“Keselamatan penumpang adalah keutamaan Malaysia Airlines dan Malaysia Airlines memohon maaf kepada penumpang berikutan gangguan yang tidak dijangkakan,” katanya. – MalaysiaGazette