MCA
Sebahagian para hadirin yang hadir pada Konvensyen Tahunan MCA Wilayah Persekutuan di SJKC Wangsa Maju, Danau Kota, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi restu kepada timbalannya, Datuk Seri Wee Ka Siong menjadi pengganti beliau pada pemilihan parti itu 4 November ini.

Bekas Menteri Pengangkutan itu menyeru ahli-ahli parti menyokong Ahli Parlimen Ayer Hitam itu dalam meneruskan perjuangan parti kaum Cina di negara ini.

“Saya harap ahli-ahli MCA akan memberi sokongan kepada Wee Ka Siong sebagai presiden baharu pada pemilihan parti nanti.

“Jangan ada bergaduh sebaliknya bersatu untuk membolehkan Ka Siong jadi presiden dan proses transformasi pucuk pemimpin berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Tiong Lai yang akan mengundur diri berikutan kekalahannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 secara terbuka memberi sokongan kepada Ka Siong iaitu Ahli Parlimen tunggal dari MCA.

Ka Siong telah menawarkan dirinya untuk jawatan itu namun beberapa ahli parti dilaporkan turut mendesak bekas presiden, Tan Sri Dr Chua Soi Lek bertanding jawatan tersebut.

Turut berminat, bekas Naib Presiden, Gan Ping Sieu untuk bertanding bagi jawatan tertinggi parti itu. – MalaysiaGazette