Saturday, April 20, 2024
Home Utama Zahid muncul di Muktamar Pas, pilih baju Melayu warna hijau

Zahid muncul di Muktamar Pas, pilih baju Melayu warna hijau

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kanan) bersama pemimpin Pas pada Majlis Perasmian Muktamar Pas Pusat kali ke-64 di Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menepati janjinya apabila hari ini hadir pada Majlis Perasmian Muktamar Pas Pusat kali ke-64 bertempat di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu di sini.

Menerusi rakaman video di laman Facebook miliknya Zahid muncul memakai baju Melayu berwana hijau gelap dan disambut mesra oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dilihat turut dilihat bersalaman ahli parti itu dan berpelukan sesama mereka.

Turut hadir, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Datuk Seri Ismail Sabri; Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad dan beberapa jawatankuasa Wanita Umno yang hadir lebih awal turut menyambut ketibaan Zahid.

Pimpinan MIC turut hadir ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri SK Devamany AJK Pusat, Datuk Seri M Saravanan.

Awal bulan ini ketika kempen Pilihan Raya Kecil Seri Setia, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengesahkan akan hadir pada Muktamar Tahunan Pas yang bermula semalam.

Katanya, selain beliau, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan dan barisan kepimpinan tertinggi tiga sayap parti itu juga akan hadir untuk memberi sokongan kepada Pas. – MalaysiaGazette