Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.
KLCC mercu tanda Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Meskipun Malaysia menghadapi pelbagai cabaran, ekonomi negara secara asasnya kukuh dan mempunyai daya tahan yang tinggi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang sekitar 5 peratus tahun ini, sekaligus menjadi negara yang pesat membangun di rantau ini.

Faktor kedua adalah kepelbagaian ekonomi yang diterajui oleh sektor perkhidmatan yang mewakili 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Eksport negara juga terdiri daripada pelbagai industri, dengan sektor pembuatan menyumbang sebanyak lebih 80% daripada jumlah eksport.

Menurutnya, keadaan pasaran buruh yang menggalakkan menyokong pertumbuhan ekonomi. Ini dapat dilihat daripada kadar pengangguran yang rendah pada 3.4 peratus pada bulan Julai 2018.

Gaji di sektor swasta juga telah meningkat  sebanyak 6.2 peratus untuk separuh pertama 2018.

“Faktor keempat, Malaysia terus menikmati lebihan akaun semasa pada tahap 2.8 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar pada separuh pertama 2018 dan dijangka terus berada dalam keadaan lebihan.

“Malah, kadar pertukaran mata wang yang fleksibel dengan ringgit menjadi lebih matang sejak Krisis Kewangan Asia pada akhir akhir 1990-an dengan menjadi satu mata wang fleksibel.

“Prestasi ringgit sekarang adalah antara terbaik di Asia. Fleksibiliti kadar pertukaran ringgit telah menjadikan mata wang Malaysia sebagai penyerap kejutan apabila keadaan ekonomi tempatan dan dunia dalam tekanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, katanya, kadar mata wang tempatan berubah-ubah dan sektor perniagaan perlu menguruskan pendedahan perniagaan kepada mata wang asing secara penuh bijaksana.

Guan Eng berkata, dalam jangka masa sederhana, Kerajaan Persekutuan akan terus memperbaiki asas ekonomi Malaysia dan nilai ringgit akan mengukuh untuk mencerminkan perkembangan positif ini.

Tambah beliau, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah AS$104.4 bilion adalah mencukupi untuk mengendali transaksi antarabangsa.

Tambahan pula, rizab ini merangkumi hanya satu suku daripada jumlah aset luaran Malaysia.

Bank-bank dan syarikat-syarikat memegang tiga suku daripada aset luaran Malaysia, iaitu RM1.3 trilion pada akhir suku kedua 2018 yang boleh dicairkan untuk memenuhi tuntutan kewangan luaran mereka sebanyak RM0.7 trilion tanpa membuat tuntutan ke atas rizab antarabangsa
negara.

Institusi kewangan Malaysia juga mempunyai modal mencukupi dan mempunyai kecairan yang secukupnya untuk membantu aktiviti pengantaraan dalam negara, katanya.

Keadaan inflasi yang rendah pada bulan Jun dan Julai yang masing-masing berada pada kadar 0.8 peratus dan 1.1 peratus.

Menurutnya, inflasi yang rendah akan memberi ruang kepada Malaysia untuk menghadapi
inflasi luaran yang disebabkan oleh pengukuhan dolar Amerika Syarikat.

Ujar beliau, konflik perdagangan antara China dan Amerika Syarikat mewujudkan satu peluang unik bagi Malaysia.

“Peningkatan tarif import susulan peperangan perdagangan di antara dua ekonomi terbesar dunia telah menyebabkan banyak syarikat, terutamanya syarikat pembuatan yang besar daripada China dan Amerika Syarikat, mencari tapak baru di Malaysia, destinasi pelaburan yang selamat,” kata Guan Eng. – MalaysiaGazette