Mazlan Lazim
Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Siasatan kes seorang lelaki disyaki merakam bawah skirt seorang wanita menggunakan telefon bimbit di sebuah kedai cermin mata Publika Solaris Duta Mas kini dalam proses akhir.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kertas siasatan berkaitan kejadian melibatkan bekas pegawai khas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu hanya menunggu masa sahaja diselesaikan.

“Selepas siap, kita akan menghantar kertas siasatan itu kepada Peguam Negara untuk proses tindakan pendakwaan.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media kejayaan Narkotik di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Rentetan kejadian 8 September lalu, mangsa juruoptik membuat laporan polis terhadap suspek di Balai Polis Sentul selepas suspek merakam bawah skirt semasa memeriksa mata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd. Aziz Jamman.

Suspek berusia 47 tahun itu kemudian dicekup pada hari berikutnya untuk disiasat mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil (Akta 336) untuk merakam keterangan polis semasa berada di sebuah restoran sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Mohd Aziz kemudian memecat suspek selepas ditahan polis dengan bantuan bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis itu.- MalaysiaGazette