Bandaraya Singapura. foto Agensi

SINGAPURA – Bekalan elektrik ke beberapa kawasan di Singapura mengalami gangguan awal hari ini yang menjejaskan kira-kira 146,797 pelanggan kediaman dan komersial, menurut SP Power.

Syarikat utiliti tenaga itu berkata, bekalan elektrik yang terganggu pada 1.18 pagi itu pulih sepenuhnya dalam tempoh 38 minit.

SP Power berkata, kawasan yang terjejas ialah Boon Lay, Choa Chu Kang, Clementi, Jurong, Pandan Loop, Aljunied, Geylang, Tanjong Rhu, Mountbatten, Kembangan, Bedok, East Coast, Ang Mo Kio, Bishan, Thomson, Mandai, Admiralty, Sembawang dan Woodlands.

Sebahagian besar daripada kawasan yang terjejas itu terletak di bahagian utara dan timur bandar raya pulau ini.

“Berdasarkan siasatan awal, gangguan disebabkan kehilangan sebahagian bekalan daripada dua unit penjanaan kuasa. Siasatan kami masih berjalan,” menurut syarikat berkenaan dalam catatan terkini Facebook pagi ini.

Sementara itu, Energy Market Authority (EMA) berkata punca gangguan bekalan itu sedang disiasat.

“Energy Market Authority memandang berat gangguan bekalan elektrik di Singapura. Kami akan meneliti hasil daripada siasatan kami sebelum menentukan tindakan yang akan diambil.

“Kami juga akan bekerjasama dengan industri untuk melaksanakan langkah bagi meminimumkan risiko berulangnya insiden itu,” menurut kenyataan yang dimuatkan dalam laman sesawang EMA. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast