LGE
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Sekiranya sebelum pilihanraya umum ke-14 yang lalu, Pakatan Harapan berkempen bahawa Malaysia akan bankrap dan nilai ringgit akan terus menjunam akibat skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) namun Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan sebaliknya.

Kejatuhan matawang ringgit ketika ini katanya adalah disebabkan oleh perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China malah beliau optimis Malaysia masih menjadi destinasi menarik pilihan pelabur.

“Masalah rasuah kewangan 1MDB tidak meruntuhkan nilai ringgit dan pasaran modal seperti yang dibimbangi oleh para pelabur kerana mereka sedar bahawa ini adalah isu rasuah yang diwarisi oleh rejim terdahulu dan yakin bahawa kerajaan baharu ini komited untuk membebaskan Malaysia daripada reputasi sebagai negara jaguh kleptokrasi sedunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan menurut Guan Eng, sedar akan cabaran yang perlu dihadapi berikutan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terutamanya tentang kekurangan pendapatan dan risiko lain yang berkaitan seperti kelewatan bayaran balik GST.

Perbincangan antara agensi kerajaan dan penggubal dasar akan berterusan bagi menghadapi cabaran-cabaran ini, tambahnya.

Antara yang telah dirancang kerajaan adalah penubuhan Jawatankuasa Kewangan Awam, pembayaran balik GST bermula tahun hadapan, menerbitkan bon dan sukuk serta penjualan aset bukan kritikal.-MalaysiaGazette