Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (kanan) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 21 SEPTEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Duta dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke luar negara sedia ada yang dilantik ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) dalam kalangan ahli politik akan ditamatkan perkhidmatan serta-merta.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu bagi memastikan amalan lantikan politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak diwarisi dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Tiada lagi lantikan politik sebagai duta atau pesuruhjaya tinggi di luar negara, tiada orang politik dilantik, kita tidak akan membenarkannya.

“Ini adalah tindakan tegas ke atas kerajaan kita sendiri, di mana ahli parti kita sendiri mahu menjadi duta di luar negara,” katanya pada sidang media di bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

MGF21092018_PC TUN DR MAHATHIR09
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 21 SEPTEMBER 2018.

Sebelum itu, Dr Mahathir mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR).

Hadir sama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Ketua Pengarah, Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Dr Mahathir berkata, kerajaan hanya akan melantik duta dan pesuruhjaya tinggi Malaysia ke luar negara dalam kalangan pegawai-pegawai dalam perkhidmatan awam.

“Tidak akan ada pelantikan politik yang diamalkan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.

Ditanya tentang pelantikan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai sebagai Duta Khas ke China pada 31 Ogos lalu, Dr Mahathir bagaimanapun berkata, ahli Parlimen Cheras itu hanya bertugas di dalam negara.

“Yang itu bukan duta (Kok Wai) dia ditempatkan di Malaysia, dia pergi (China) buat kerja sahaja,” katanya lagi – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast