Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. foto SYAFIQ AMBAK, 21 SEPTEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bertujuan memastikan hak asasi manusia yang diperjuangkan di negara ini tidak berkiblatkan sepenuhnya kepada negara barat termasuk amalan hidup songsang.

“Sistem nilai kita tak sama dengan sistem barat, mereka lebih bebas. Tetapi di Malaysia ada perkara-perkara tertentu yang kita tak boleh terima walaupun sekarang ini dianggap sebagai hak asasi manusia.

“Kita tak boleh terima umpamanya LGBT, perkahwinan antara lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan.

“(Dalam sistem barat) konsep keluarga kekal sama, ada pasangan, punyai anak-anak, keluarga atau anak angkat tapi konsep perkahwina sejenis kita tidak boleh terima,” katanya pada sidang media di bangunan Perdana Putra, di sini.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan didakwa menyokong amalan LGBT dan gaya hidup songsang susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang mahu memberikan bantuan keusahawan kepada golongan itu disalahertikan.

Sebaliknya Mujahid menegaskan bantuan kewangan itu diberikan kepada golongan LGBT yang mahu kembali ke pangkal jalan sekali gus mengelakkan mereka kembali ke industri pelacuran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast