Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan beliau tidak pernah menyokong perkahwinan bawah umur dan kepentingan kanak-kanak mestilah menjadi keutamaan setiap masa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, perkahwinan tidak seharusnya digunakan sebagai jalan keluar dari kepompong kemiskinan.

Oleh sebab itu, katanya, kementerian itu akan menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Dr Wan Azizah membuat kenyataan itu bagi menjelaskan isu perkahwinan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang berkahwinan dengan duda, 45 tahun.

Sebelum ini, beliau dilaporkan media sebagai berkata, perkahwinan remaja itu telah mendapat kebenaran Mahkamah Rendah Syariah dan sah mengikut undang-undang yang ada.

Jelas Dr Wan Azizah, mesyuarat yang diadakan oleh kementeriannya pada 13 September lalu telah bersetuju agar Jabatan Kemajuan Islam dan kementerian tersebut menyediakan kertas kerja bagi menaikkan had umur perkahwinan orang Islam yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk mendapatkan sokongan.

Negeri-negeri lain, kata beliau, sewajarnya mencontohi Kerajaan Selangor yang telah menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.

Satu kertas Kabinet akan disediakan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi bukan Islam juga kepada 18 tahun.

Malah, ketua-ketua adat akan diberikan maklumat berkaitan kesan-kesan negatif perkahwinan bawah umur terhadap kesihatan dan keselamatan kanak-kanak dan pendedahan mengapa had umur itu dititikberatkan.

“Proses pindaan undang-undang mengambil masa, justeri kementerian dan Jabatan Kehakiman Syariah akan bekerjasama menggubal garis panduan yang ketat dan menyeluruh bagi proses meluluskan perkahwinan kanak-kanak oleh Mahkamah Syariah.

“Faktor risiko kehamilan dan kelahiran pada usia muda mesti diambil kira dalam hal ini,” katanya sambil memberitahu sudah berbincang untuk menyemak kelompongan dan ketidakseragaman di antara undang-undang Syariah dan sivil berkaitan perkahwinan kanak-kanak.

Tegas Dr Wan Azizah, pindaan undang-undang hanyalah sebahagian daripada usaha-usaha yang akan dilaksanakan.

Tetapi pendekatan menyeluruh harus diambil merangkumi isu pendidikan, jaringan sosial, pembasmian kemiskinan dan sistem sokongan bagi kanak-kanak.

“Perlindungan dan hak kanak-kanak adalah kepentingan utama bagi saya dan tidak akan sesekali berkompromi berkaitan hal ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette