KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mendakwa pengurusan dan polisi Lim Guan Eng teruk selepas Menteri Kewangan mengeluarkan kenyataan bahawa bekas Perdana Menteri itu gagal dalam ujian perakaunan.
Dalam kenyataan terbaharunya, Najib tidak menafikan Guan Eng seorang ahli politik yang berbakat terutama dalam memutarbelit dan gemar menyalahkan orang lain dalam menyakinkan penyokongnya.
Tetapi soal ekonomi berlandaskan kepada fakta angka sebenar dan akan memberi kesan kepada kehidupan 31 juta rakyat Malaysia selain masa depan negara ini.
Sehubungan itu, Najib meminta Menteri Kewangan itu menjawab 17 soalan agar beliau dan orang awam memahami fakta dan kebenaran.
Sebanyak 17 soalan tersebut adalah:
- Adakah benar kerajaan hilang RM30 bilion atau lebih bagi pendapatan tahun ini berikutan sifar GST selama 3 bulan serta pengenalan semula subsidi menyeluruh selepas PRU14?
-
Adakah benar tuntutan cukai input GST melonjak selepas GST disifarkan pada Jun 2018?
-
Adakah benar Malaysa adalah satu-satunya negara dalam sejarah dunia yang menghapuskan GST dan kembali kepada SST, pada ketika lebih banyak negara beralih kepada GST bagi meningkatkan daya saing negara mereka?
Adakah benar juga bahawa ada barang yang naik harga selepas SST dilaksanakan?
- Adakah benar harga petrol di Malaysia pada masa ini adalah lebih rendah dari Arab Saudi yang mengeluarkan 20 kali ganda minyak sehari berbanding Malaysia dan lebih rendah dari negara Teluk?
-
Adakah benar sejak PRU14, pelaburan terus asing (FDI) bagi suku kedua 2018 jatuh kepada RM2.84 bilion (iaitu pelaburan paling rendah sejak 2008) daripada RM11.98 bilion berbanding suku pertama dan RM8.66 bilion bagi tahun sebelumnya, pertumbuhan KDNK pada 4.5 peratus bagi suku kedua 2018 adalah di bawah unjuran, Ringgit menyusut sebanyak 30 sen berbanding Dolar Amerika, berpuluh bilion Ringgit pelaburan saham dan modal keluar dari Malaysia manakala Rizab Antarabangsa BNM menyusut dari US$110 bilion setiap bulan kepada US$103.9 bilion sehingga 15 September 2018.
-
Adakah benar tekanan utama terhadap kewangan negara tahun depan ialah kehilangan pendapatan RM40 bilion setahun berikutan penghapusan GST dan peningkatan subsidi pukal?
-
Adakah benar pembatalan dan penangguhan pelbagai projek turut menyebabkan kehilangan pekerjaan baru dan sedia ada selain penyusutan pertumbuhan ekonomi menyebabkan ahli ekonomi menjangkakan negara akan terjerumus ke dalam kemelesetan tidak lama lagi?
-
Adakah benar di sebalik dakwaan Pakatan Malaysia akan bankrap selama 10 tahun sebelum ini dan kononnya kerajaan terdahulu tak pandai mengurus ekonomi. BN secara konsisten berjaya mengurangkan defisit bajet setiap tahun, meningkatkan BR1M, meningkatkan gaji kakitangan awam dan gaji minimum serta mengekalkan pertumbuhan KDNK antara tertinggi di dunia termasuk mengatasi Singapura sejak 2011 manakala eksport meningkat setiap tahun?
Adakah sebab inilah mengapa Guan Eng pada minggu lalu berkata ekonomi Malaysia masih kukuh dengan menyatakan 8 faktor kepada kenyataan itu.
- Adakah benar dengan menyalahkan saya dan kerajaan lalu adalah alasan paling mudah untuk digunakan sebagai ‘keputusan sukar’ bagi bajet akan datang di mana dijangkakan bantuan untuk rakyat akan dihentikan, pinjaman kerajaan akan meningkat dan unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah biarpun ia sebenarnya adalah akibat polisi, perancangan teruk dan salahtadbir anda sendiri yang menjadi penyebabnya?
-
Adakah benar, sebagaimana pernah saya jelaskan dua kali sebelum ini, adalah mustahil wang disatukan kerajaaan hanya berbaki RM450 juta pada hujung April 2018 kerana sentiasa terdapat “buffer” dua bulan sebagai penampan bayaran gaji dan pencen sekitar RM8 bilion sebulan dan saya pernah tanya dua kali kepada Guan Eng untuk beri jawapan pada jadual di bawah untuk tunjukkan kepada rakyat bagaimana ia berlaku namun tidak pernah dijawab?
-
Adakah benar jika dakwaan anda benar sekalipun kononnya ia hanya berbaki RM450 juta pada hujung April 2018, anda mempunyai akses kepada akaun kerajaan dan dengan mudah untuk mendapatkan jawapan ke mana wang itu dibelanjakan? Kenapa tanya saya pula?
-
Adakah benar disebalik anda mendakwa lebih 1.5 juta orang akan terkesan dari tuntutan LHDN yang tidak dikembalikan, tiada seorang pun Ahli Parlimen Pakatan pernah menyuarakan isu ini sepanjang 10 tahun lalu dan tak pernah menjadi masalah namun tiba-tiba ia menjadi masalah?
-
Adakah benar, anda hanya mengetahui kononnya terdapat kelompongan RM35 bilion bagi tuntutan GST dan LHDN selepas 3 bulan anda menjadi menteri kewangan dan secara kebetulan selepas anda mengetahui terdapat lonjakan tinggi bagi tuntutan input GST selepas GST sifar pada Jun 2018.
-
Adakah benar, saya sudah bertanya berulangkali kepada anda untuk memulakan RCI terhadap ‘kehilangan RM35 bilion’ ini berikutan jumlahnya yang besar namun anda tidak berani beri jawapan?
-
Adakah benar liabiliti kontijensi dilaporkan secara telus setiap tahun termasuk dibawah akaun BNM dan ia sekaligus buktikan bahawa kerajaan lalu tak pernah sembunyikan sebarang hutang atau liabiliti kontijensi?
-
Jika benar hutang negara adalah RM1 trilion sebagaimana dakwaan anda dan kita berada di pinggir krisis kewangan, mengapa kesemua agensi penarafan kewangan antarabangsa, IMF dan Bank Dunia berikan kita penarafan A?
Bolehlah Guan Eng menyatakan secara terbuka bahawa agensi penarafan kewangan antarabangsa itu semua serta IMF dan Bank Dunia tidak kompeten atau bersengkongkol dengan kerajaan lalu untuk menipu dunia?
- Guan Eng juga menyebut dalam kenyataannya hari ini bahawa tiada kaitan antara harga minyak dan nilai Ringgit disebalik pelbagai kajian dan analisa menyatakan sebaliknya. Mungkin Guan Eng terlalu malas untuk membaca, mungkin dia boleh rujuk kepada carta di bawah (saya lukis kerana mungkin dia malas baca)?
Najib berkata, banyak lagi rujukan boleh dicari jika Guan Eng benar-benar mahu menambah pengetahuan beliau mengenai hubungan nilai ringgit dengan harga minyak.
Tambah Najib, beliau tahu Guan Eng tidak akan berani atau jujur untuk menjawab semua soalan-soalan di atas ini tetapi saya tetap mahu kemukakan agar rakyat faham meskipun menjangkakankan Kit Siang akan mengeluarkan banyak kenyataan selepas ini.
Tegas Najib, putar belit yang dibuat oleh Guan Eng sedikit pun akan membantunya jika pengurusan dan polisi Menteri Kewangan itu teruk. – MalaysiaGazette