Mayat Faridah Hashim, 63, ditemukan menantu lelakinya pada jam 2.30 petang semasa mencari ibu mertuanya di sekeliling kawasan rumah.
Mayat Faridah Hashim, 63, ditemukan menantu lelakinya pada jam 2.30 petang semasa mencari ibu mertuanya di sekeliling kawasan rumah.

BALIK PULAU – Misteri kehilangan seorang warga emas sejak enam hari lalu akhirnya terjawab apabila mayat wanita itu ditemui dalam lubang kumbahan najis di belakang rumahnya di Kampung Sungai Burung, di sini, semalam.

Mayat Faridah Hashim, 63, ditemukan menantu lelakinya pada jam 2.30 petang semasa mencari ibu mertuanya di sekeliling kawasan rumah.

Wanita itu dipercayai dibunuh dan mayatnya ditemui dalam lubang kumbahan najis yang bertutup sedalam 1.5 meter, kata Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A.A. Anbalagan di sini.

Beliau berkata wanita itu dikatakan hilang sejak 19 Sept lepas dan anggota keluarganya membuat laporan polis berhubung kehilangan itu pada 21 Sept.

“Polis dengan bantuan pihak bomba mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkan mayat wanita itu yang sudah berulat dan hasil pemeriksaan awal pasukan forensik menemui kesan kelar di bahagian depan lehernya,” katanya.

Beliau berkata polis menemui sebilah pisau yang dipercayai diguna untuk membunuh wanita itu berhampiran tangki najis berkenaan dan kesan darah pada penutup lubang najis itu.

Anbalagan berkata berikutan penemuan mayat itu, polis kini mencari anak lelaki wanita berkenaan bagi membantu siasatan kes itu. Lelaki terbabit juga telah menghilangkan diri sejak 19 Sept lepas.

Beliau berkata polis percaya lelaki berusia 29 tahun itu merupakan orang terakhir dikatakan bersama wanita berkenaan pada pagi 19 Sept lepas.

“Mangsa tinggal di rumah itu bersama anak perempuannya serta suspek, menurut anak perempuan mangsa, dia keluar bekerja pada pukul 6.30 pagi dan ketika itu ibunya sedang menunaikan solat manakala adik lelakinya sedang tidur dalam bilik.

“Anak perempuan mangsa itu balik kerja kira-kira pukul 8 malam dan mendapati ibu dan adik lelakinya itu tiada di rumah. Dia cuba menghubungi telefon bimbit mereka tetapi tidak dijawab,” katanya.

Beliau berkata lelaki yang tidak bekerja dan mempunyai dua rekod lampau kerana mencederakan kakaknya itu sering menghidu petrol untuk menjadi khayal dan dikatakan akan memarahi ibunya jika tidak diberi wang.

Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, katanya.

— BERNAMA