Dua perwakilan Pergerakan Puteri UMNO dilihat melintasi dinding yang dihiasi logo parti UMNO ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 DISEMBER 2017
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Memang UMNO sekarang adalah sebuah parti politik yang lemah tetapi ia belum sampai ke peringkat kejatuhan atau lumpuh.

Penganalisis politik, Mohd Roslan Saludin berkata, ini kerana parti tersebut masih mempunyai penyokong dan mendapat sokongan dalam kalangan orang-orang Melayu yang nasionalis.

“Kekalahan UMNO, isu-isu membabitkan parti, masalah-masalah dalaman yang berlaku dalam parti berkenaan tidak boleh dipukul rata sebagai kejatuhan UMNO.

“Parti yang berteraskan bangsa tidak boleh dipandang begitu, tambahan pula UMNO sedang melakukan reformasi, jika betul caranya ia umpama peribahasa carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Apatah lagi UMNO masih berteraskan kepada prinsip Ketuanan Melayu dan Islam walaupun tiga parti dalam Pakatan Harapan – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) cuba mendukungi teras yang sama, bezanya tidak menyentuh isu-isu sensitif.

“Teras yang didukung oleh tiga-tiga parti ini adalah sama dengan UMNO dan selepas Pilihan Raya Umum lalu, kedudukannya mungkin seimbang dengan UMNO.

“Setakat ini UMNO belum menampakkan kejatuhan atau lumpuh. Cuma ia belum kuat,” tambah bekas Felo Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Dalam keadaan sekarang, Mohd Roslan berkata, Pakatan Harapan pula tidak boleh tersilap langkah.

Jika itu berlaku, UMNO akan mengambil kesempatan sepenuhnya.

“Cuma ia bukan waktu terdekat ini,” ujar beliau.

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membayangkan parti UMNO, sebagai tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) yang tewas pada Pilihan Raya Umum Mei lepas, akan berhadapan satu kejatuhan.

Berucap pada satu majlis di New York, Perdana Menteri Malaysia itu berkata, ramai anggota parti berkenaan mengambil keputusan meninggalkan UMNO kerana mereka kini tidak lagi rasa takut kepada bekas presiden parti, yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, UMNO kini berpecah-belah, ia hanya menuju kejatuhan. Tiada lagi masa hadapan untuk UMNO kerana orang ramai secara menyeluruh bencikan UMNO. – MalaysiaGazette

KAITAN: UMNO menuju kejatuhan – Mahathir