Wakil UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin membahas ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen yang keluar UMNO adalah pengkhianat paling besar dalam dunia.

Wakil UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin berkata, gelaran itu sesuai diberikan kepada Ahli Parlimen berkenaan kerana mereka seorang pemimpin yang tidak berperikemanusiaan terhadap ahli yang bertungkus lumus berkempen memenangkan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang lalu.

“Mereka menjawat jawatan menteri. Bila berjalan ada pemandu, ada pengiring.. siapa yang meletakkan mereka ditempat tinggi itu kalau tidak kerana ahli dan UMNO.

“Mana mungkin darjat mereka sampai ke tahap itu kalau ahli parti tidak letak meletakkan mereka pada tahap seperti dijulang.

“Masa berkempen, golongan wanita selepas selesai urus anak, makan minum, mereka memanjat rumah-rumah pangsa berkempen. Begitu juga pemuda, balik kerja terus membantu calon,” katanya pada sesi membawa usul Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut Megat Zulkarnain, agak malang, apabila calon itu menang hasil kerja kuat ahli parti, mereka bertindak keluar UMNO kerana mengejar kepentingan diri setelah merasakan parti tidak lagi boleh ‘memberi makan’ selepas kalah pada PRU 14.

Katanya, Ahli Parlimen seperti itu disifatkan sebagai dayus dan bacul kerana lari dari perjuangan.

Ujar beliau, walaupun UMNO kalah, parti boleh bangkit untuk mencapai kemenangan pada PRU akan datang, asalkan pemimpin dan ahlinya berjuang untuk agama, bangsa dan negara.

“Kita menang 13 kali (penggal), dan kalah hanya sekali. Belum tentu yang satu kali kalah itu, kita tidak boleh bangkit lagi.

“Alangkah rapuhnya semangat mereka, tidak ada jiwa, tidak ada roh perjuangan. Yang ada dalam diri mereka ialah kepentingan diri,” katanya. – MalaysiaGazette