Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis sambutan memperingati 150 tahun kelahiran Mahatma Gandhi anjuran Pusat Kebudayaan India Netajhi Subash Chandra Bose di Brickfields
Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis sambutan memperingati 150 tahun kelahiran Mahatma Gandhi anjuran Pusat Kebudayaan India Netajhi Subash Chandra Bose di Brickfields.

KUALA LUMPUR – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengharapkan sebarang permohonan maaf daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau sudah lama memaafkan ‘kisah silam’ antara dirinya  dan Dr. Mahathir.

Tambah Anwar, beliau sendiri sudah memaafkan Datuk Seri Najib Tun Razak atas kapasiti peribadi dan tidak mempunyai dendam dengan sesiapa.

“Saya tidak mengharapkan pun sebarang permohonan maaf daripada beliau, berkali-kali saya telah tegaskan selama ini juga bahawa saya menerima kesediaan kerjasama antara saya dan beliau.

“Permohonan maaf ini sebenarnya daripada anda (media) bukan saya. Persoalan adakah saya sudah memaafkan dia? Saya sudah lama memaafkan beliau.

“Malah saya juga sudah memaafkan Datuk Seri Najib Tun Razak atas kapasiti peribadi, tetapi beliau perlu berdepan dengan hukuman serta dakwaan terpalit terhadapnya terutamanya berhubung dengan dana berkaitan rakyat.

“Dengan Tun Mahathir pula, rasanya tidak perlu saya ulas memandangkan beliau telah berjaya melakukan agenda reformasi malah beliau telah menerima saya sebagai rakan yang menjayakan transformasi ini, rasanya ini sudah cukup,” katanya.

Anwar mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mengakui tidak pernah memohon maaf secara rasmi kepada Anwar ketika wawancara khas bersama BBC sebelum berangkat pulang ke tanah air hari ini.

Saya tidak pernah minta maaf pada Anwar

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan memperingati 150 tahun kelahiran Mahatma Gandhi anjuran Pusat Kebudayaan India Netajhi Subash Chandra Bose di Brickfields di sini.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis tersebut Anwar turut mengulas dengan panjang lebar berkaitan prinsip anti-keganasan yang diguna pakai oleh pejuang kemerdekaan India, Mahatma Gandhi.

Anwar yang mendedahkan beliau sekeluarga mempunyai hubungan akrab dengan keluarga Gandhi berkata, beliau sebenarnya turut mengadaptasi nilai murni seperti kesediaan memaafkan seseorang.

“Memaafkan seseorang bukan satu proses yang mudah sebaliknya memerlukan kekuataan yang cekal. Ianya sangat pedih dan menyakitkan sebenarnya.

“Tetapi sekiranya anda kuat, anda boleh. Dalam hal ini, saya amat bersyukur kerana mempunyai keluarga dan kenalan yang amat memahami apa yang dilalui oleh saya,” ujarnya disusuli tepukan gemuruh dari para hadirin.

Dalam wawancara bersama BBC itu, Dr Mahathir mendedahkan, ada pihak lain yang membuat pelbagai andaian kononnya beliau perlu meminta maaf ekoran tindakanya memecat Anwar sebagai pada tahun 1998.

“Itu pendapat beliau. Saya tidak pernah memberitahunya, tapi orang lain yang mahu saya memohon maaf.

“Tetapi saya tidak pernah buat sebarang permohonan maaf secara formal kepada beliau,” katanya dalam temubual tersebut.

Sebelum itu, wartawan BBC yang juga hos wawancara tersebut, Zeinab Badawi membacakan semula kenyataan Anwar ketika ditemubual stesen berita itu Jun lalu.

“Dr. Mahathir memberitahunya beliau membuat kesilapan dan beliau mahukan peluang untuk membetulkannya,” katanya memetik Anwar.

Pada masa yang sama, Dr Mahathir juga melahirkan rasa kesal apabila Anwar dipenjarakan tetapi beliau tidak patut dipersalahkan kerana hukuman itu merupakan keputusan mahkamah.

“Saya menyesal beliau ke penjara tapi saya tak boleh dipersalahkan kerana keputusan itu dibuat oleh mahkamah, bukan dibuat oleh saya,” katanya dalam wawancara. – MalaysiaGazette