KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) melantik empat Pengarah baharu berkuatkuasa hari ini (3 Oktober) bagi memperkukuh barisan Lembaga
Pengarah dalam membawa Kumpulan TM ke tahap yang seterusnya.

Pengarah-pengarah yang baharu itu adalah Datuk Asri Hamidin @ Hamidon, Datuk Mohd Naim Daruwish, Hisham Zainal Mokhtar dan Saheran Suhendran.

Asri yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Ekonomi dari Hiroshima University, Jepun adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) Kementerian Kewangan manakala Mohd Naim pula ialah Timbalan Pegawai Eksekutif (Operasi) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Hisham adalah Pengarah di Pejabat Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Berhad dan Saheran pula ialah Konsultan di firma guaman, Tetuan Chua Associates.

Menurut TM, perlantikan itu dilakukan berikutan peletakan jawatan David Benello sebagai Pengarah Bebas BukanEksekutif yang berkuatkuasa pada tarikh yang sama.

TM turut mengumumkan pelantikan Farid Basir sebagai Ketua Pegawai Modal Insan (CHCO) yang baharu berkuatkuasa 1 Oktober lalu, mengambil alih jawatan yang sebelum ini dipangku oleh Suhaimi Sulong sebagai Pemangku CHCO sejak awal tahun ini.

Pengerusi Kumpulan TM, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, mereka mampu membawa TM melangkah maju ke hadapan.

“Mereka memilikipengalaman luas dan kepakaran yang diperlukan dalam bidang masing-masing, daripadapengurusan strategik, ekonomi, kewangan dan penstrukturan korporat hinggalah kepada bidang undang-undang.

“Ini memperkukuhkan lagi barisan kepimpinan TM sambil kami melangkah ke hadapan dengan transformasi berterusan kami. Saya berasa tidak sabar
untuk berkhidmat bersama mereka dan amat menantikan mereka menyumbang
pengetahuan serta kebijaksanaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette