Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari menafikan beliau merupakan dalang untuk menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi undi tidak percaya.
Abdul Aziz Bari

PORT DICKSON – Isu tuduhan calon, menteri atau exco kerajaan Pakatan Harapan menyalahgunakan kuasa dan kemudahan kerajaan adalah tidak timbul langsung, kata Dr. Abdul Aziz Bari.

Pakar Undang-undang yang juga merangkap Exco Kerajaan Negeri Perak itu berkata, ini kerana undang-undang sedia ada tidak menyentuh langsung mengenai soal berkaitan penyalahgunaan aset atau kuasa awam.

“Pertama, undang-undag tentang soal salahguna kemudahan kerajaan tidak jelas dan tidak diperuntukkan.

“Bahkan barang kali kita boleh sebutkan bahawa dalam isu pengumuman projek dalam satu PRK di Pulau Pinang pada tahun 1981, Mahkamah Tinggi negeri itu memutuskan bahawa itu adalah tugas seorang menteri bertanggungjawab.

“Ertinya undang-undang yang ada sekarang longgar, maka menuduh PH atau meneri menteri Pakatan Harapan dan Exco PH menyalahgunakan kemudahan kerajaan adalah tidak adil oleh kerana undang undang tidak ada,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Pertandingan Bola Sepak 7 Sebelah Piala YB M.Ravi 2018 melibatkan 24 pasukan tempatan oleh calon Pakatan Harapan PRK Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang Merdeka pagi ini.

Dalam perkara sama, tambah beliau, isu berkenaan juga telah dibincangkan secara meluas daripada Gobind Singh Deo dan Datuk Saifuddin Nasution serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selain calon PH sendiri.

Justeru katanya, dalam soal berkaitan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga tidak mengeluarkan sebarang garis panduan berhubung tataetika penggunaan harta awam.

“Keduanya teganya, ia harus dilihat dalam konteks lebih adil dan betul, yang mana PH melalui kerajaan Pulau Pinang dan Selangor telah membuat larangan jelas penggunaan balai raya dan sebagainya.

“Ia telahpun dilaksana secara konsisten dan meyeluruh dibawah pentadbiran di Selangor dan Penang sehingga hari ini.

“Dan ketiga juga harus melihat dalam konteks lebih luas dan adil, jangan ambil gambar kereta menteri, kereta exco dan kata sudah salah guna, seperti disebut TPM, soal keselamatan harus diambil kira.

“Seorang PM, TPM atau exco mereka masih manusia sama, takkanlah dia masuk PD terus melompat keluar dan pemandu dan pegawal peribadi cabut lari..ini tak masuk akal lah,” ujarnya.

Berhubung Bersih 2.0 yang membangkitkan isu sama, katanya pendirian serta pendapat mereka dihormati namun belum ada satu peratusan jelas dan praktil dicapai dalam isu tersebut.

Ujar Abdul Aziz, kedua-dua pihak kerajaan dan NGo harus duduk bersama kalau hendak membentuk satu penanda aras yang standard.

“Apa yang saya tekankan di sini tidak ada penggunaan yang menjolok mata atau salah guna kemudahan awam.

“Contoh dulu guru-guru diminta berkempen dan memenuhi dewan, bas sekolah atau bas awam digunakan untuk mengangkut penyokongnya dan bantuan bantuan segera diluluskan, kini ia tidak berlaku dalam kerajaan PH.

“PH menang di peringkat Persekutuan dan negeri dalam keadaan tertekan dan tidak ada pihak secara adil boleh mengatakan kita sama macam BN dulu.

“Untuk mendapatkan peraturan adil dan sistematik, elok blok pembangkang iaitu BN duduk bersama PH dan buat suatu garis panduan dengan bantuan SPR sebagainya,” tegas beliau lagi.- MalaysiaGazette