Datin Seri Rosmah Mansor
Rosmah Mansor
KUALA LUMPUR – Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini membayar jaminan RM1 juta daripada jumlah keseluruhan RM2 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Rosmah sebelum ini didakwa atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),

Dua wanita yang dipercayai penjamin Rosmah hadir ke mahkamah kira-kira 10.15 pagi dan terus menuju ke kaunter bayaran jaminan di tingkat bawah Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini untuk menandatangani dokumen berkaitan urusan ikat jamin.

Bayaran jaminan itu dibuat oleh dua rakan wanita itu yang memakai baju kurung dan bertudung dan mereka meninggalkan Kompleks Mahkamah pada 11.15 pagi dengan sebuah kenderaan.

Pada Khamis lepas, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Rosmah, yang diwakili barisan peguam diketuai Datuk K. Kumaraendran membayar ikat jamin RM500,000 pada hari itu dan bakinya pada atau sebelum 11 Okt.

Oleh itu setakat ini Rosmah telah melunaskan RM1.5 juta daripada jumlah RM2 juta itu.

Pada 4 Okt lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN.

Mahkamah membenarkan Rosmah diikat jamin RM2 juta dengan dua orang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan dua syarat menyerahkan dua pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi dan bakal saksi pendakwaan selain menetapkan 8 Nov untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast