KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidukan Malaysia nafi melantik ejen untuk mendapatkan peruntukan pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Kementerian itu berkata, ia menerima aduan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan logo KPM dan jata negara dan mendakwa mampu menguruskan perolehan dana.

“Kementerian Pendidikan Malaysia menegaskan tidak pernah melantik mana-mana organisasi atau orang perseorangan bagi tujuan membantu mendapatkan peruntukan atau dana pembangunan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Kementerian Pendidikan Malaysia juga ada menerima aduan bahawa terdapat individu yang menggunakan nama dan logo KPM serta jata negara bagi tujuan memperdaya dan mempengaruhi guru besar-guru besar SJKT kononnya boleh menguruskan pemerolehan peruntukan daripada KPM,” katanya dalam kenyataan.

Laporan polis terhadap aduan itu juga telah dibuat semalam di Ibu Pejabat Polis Putrajaya.

Sehubungan itu guru besar dinasihati agar tidak sewenangnya terpengaruh jika didatangi individu yang kononnya mewakili organisasi menguruskan pungutan dana.

“Sehubungan itu guru-guru besar dinasihatkan supaya berhubung terus dengan Kementerian untuk sebarang permohonan peruntukan dan membuat laporan polis jika didatangi mana-mana individu yang mendakwa diri mereka sebagai ejen Kementerian bagi tujuan tersebut,” tambahnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast