Mayat lelaki ditemukan terapung dalam keadaan berbungkus dengan kanvas berwarna biru manakala kepala serta kaki diikat dawai besi di sebuah lombong di Jalan Kuari Tanjung Batu, Pantai Remis di sini, petang semalam.
Mayat lelaki ditemukan terapung dalam keadaan berbungkus dengan kanvas berwarna biru manakala kepala serta kaki diikat dawai besi di sebuah lombong di Jalan Kuari Tanjung Batu, Pantai Remis di sini, petang semalam.

LUMUT – Mayat lelaki ditemukan terapung dalam keadaan berbungkus dengan kanvas berwarna biru manakala kepala serta kaki diikat dawai besi di sebuah lombong di Jalan Kuari Tanjung Batu, Pantai Remis di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pukul 2.45 petang itu, lelaki yang dipercayai dibunuh itu, ditemui penduduk yang datang ke kawasan itu untuk menjerat burung sebelum melaporkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Muhammad Hanif Othman berkata anggotanya yang tiba di lokasi sejurus menerima maklumat mendapati mayat mangsa sudah dibawa ke tepi lombong dengan bantuan pasukan bomba.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mayat berkenaan dibungkus dengan kanvas selain pada bahagian kaki mangsa (di dalam kanvas) terdapat ketulan batu bata.

“Umur mangsa dianggarkan dalam lingkungan 40 hingga 50-an, namun identiti mangsa masih belum dapat dipastikan kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mangsa dan kawasan sekitar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pagi ini.

Muhammad Hanif berkata, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua hingga tiga hari lepas berdasarkan keadaan badan yang mula membengkak.

Polis juga menggunakan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) di lokasi kejadian bagi membantu mengesan suspek dan selain mencari bahan bukti.

“Lokasi kejadian adalah kawasan lombong tinggal dan laluan ke situ adalah jalan batu tidak berturap serta dikelilingi hutan simpan manakala jarak perjalanan dari jalan besar kira-kira tiga hingga empat kilometer,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis memohon orang awam yang kehilangan ahli keluarga atau tidak dapat dihubungi supaya tampil ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast