Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, pemansuhan hukuman mati perlu mencakupi semua jenis kesalahan yang ada hukuman berkenaan.

Malah katanya ia tidak seharusnya melibatkan sebahagian atau satu jenis jenayah yang memperuntukkan hukuman mati sahaja.

“Terdapat banyak kesalahan (jenayah) yang diperuntukkan hukuman mati atau gantung seperti pembunuhan dan kesalahan mengedar dadah tetapi kerajaan tidak boleh memilih atau mengecualikan kesalahan tertentu dan hukum mati terhadap satu lagi kesalahan jenayah lain.

“Saya faham perasaan mangsa yang terjejas, tentu sangat menyakitkan tetapi kalau kerajaan berhasrat untuk menghapuskan (hukuman mati) tidak boleh hapuskan sebahagian sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Vui Keong menegaskan, hukuman penjara minimum 30 tahun akan menggantikan hukuma mati jika usul memansuhkan hukuman berat itu diluluskan di Parlimen.

Menurut beliau, terdapat 18 kesalahan jenayah di negara ini yang membawa hukuman mati antaranya mengedar dadah, membunuh mangsa dalam kes penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian serta melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Dalam perkembangan berkaitan, Vui Keong mengakui seramai 1,267 banduan yang berdepan hukuman mati dan kira kira 900 daripadanya berkaitan jenayah dadah melibatkan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Namun mereka yang dijatuhkan hukuman mati dalam kes dadah masih belum dilaksanakan hukumannya kerana Yang Dipertuan Agong belum menandatangani arahan pelaksanaan hukuman mati.

“Maka mereka begitu lama berada dalam penjara oleh kerana tarikh hukuman mati belum ditetapkan.

“Namun, saya rasa ada moratirum ketika ini untuk memastikan kesemua berkenaan dirujuk kepada lembaga pengampunan untuk proses pembaharuan.

“Ini tidak bermakna mereka akan dibebaskan daripada dihukum mati.. mereka perlu menjalani hukuman (penjara).

“Kami masih peringkat akhir untuk memuktamadkannya dan diharapkan dilakukan pada sesi ini (sidang Parlimen),” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette