KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil serius insiden melibatkan kekasasaran terhadap pembaca meter TNB ketika sedang menjalankan tugas rasmi di Pangsapuri Taman Bukit Segar, Kuala Lumpur, pagi semalam.
Menurut TNB, berdasarkan laporan awal, petugas berkenaan telah didatangi dan diserang oleh dua individu ketika berada di kawasan pangsapuri tersebut.
Katanya, insiden itu menyebabkan petugas mengalami kecederaan dan beliau telah mendapatkan rawatan di hospital.
“Laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut dan TNB akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook TNB Careline malam tadi.
Tambah kenyataan itu, TNB memandang serius terhadap sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan warga kerja yang sedang menjalankan tugas.
“Orang ramai dimohon memberikan kerjasama kepada petugas TNB serta menyalurkan sebarang pertanyaan atau maklumbalas melalui saluran rasmi TNB,” katanya. – MalaysiaGazette
















