KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen antara lapan individu yang diberi notis kesalahan merokok di dalam bangunan Parlimen, pada Isnin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang media berkata, tindakan itu diambil susulan pengisytiharan sudut merokok dan tempat makan di dalam bangunan Parlimen sebagai kawasan larangan merokok bermula semalam.

“Pagi ini kita mula operasi penutupan ruang legar udara di Parlimen berdasarkan tindakan Peraturan 11 Kawalan Akhir Tembakau di Parlimen.

“Saya perlu nyatakan semalam kita keluar lapan notis kesalahan dalam ruang legar Parlimen, akan kita teruskan bagi meneruskan komitmen menjadikan Parlimen bebas asap rokok,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Lebih 20 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dihantar khusus untuk memantau tiga lokasi yang sering menjadi tumpuan perokok.

“Ya, selepas kerajaan isytiharkan Parlimen kawasan larangan merokok. Kami pantau seluruh kawasan Parlimen.

“Kami hantar 23 hingga 25 anggota,” katanya lagi.

Antara tumpuan adalah sekitar kafeteria blok utama, tempat rehat ahli Parlimen Dewan Rakyat dan ruang telaga udara sebagai kawasan larangan merokok, bermula semalam.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti Ahli Parlimen yang dikenakan notis larangan merokok itu.

Kesalahan ini tertakluk di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Perokok didapati merokok di tempat larangan merokok boleh dikenakan kompaun tidak lebih RM 500 dan jika gagal dijelaskan boleh dikenakan denda tidak lebih RM 10,000 atau penjara tidak lebih dua bulan atau kedua-duanya sekali. -MalaysiaGazette