Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah

PUTRAJAYA – Kabinet meluluskan 11 bidang keprihatian utama dalam membina kerangka dasar luar Malaysia Baharu yang antara lain memberi fokus kepada usaha menjalin hubungan dengan negara-negara Islam yang lain.

“Dalam hal ini, kita menyedari bahawa dunia Islam dan dunia secara amnya terus berada dalam krisis. Isu Palestin belum selesai. Di Timur Tengah berlaku pertelingkahan demi pertelingkahan.

“Umat Islam minoriti di banyak negara masih berhadapan banyak masalah. Kita berhadapan dengan masalah Islamophobia, terorisme, radikalisme.

“Di samping itu kita berhadapan isu perbezaan mazhab yang diperbesarkan sehingga memecah-belahkan umat,” kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, kebanyakan negara Islam jarang berada pada ranking top 10 dalam bidang-bidang tertentu dan negara-negara ini sering dikaitkan dengan kemunduran dan kemiskinan.

Begitu juga dengan indeks antarabangsa terhadap demokrasi, hak asasi dan kebahagian serta kesejahteraan yang dilihat mudah diamalkan oleh negara bukan Islam, katanya.

“Oleh itu, kita harus memainkan peranan untuk meletakkan umat Islam dan negara Islam sebagai teladan yang baik sesuai dengan maksud Rahmatan Lil Alamin (kerahmatan untuk semua).

“Di samping kita akan terus dengan dasar luar akan membela nasib umat Islam Palestin, Rohingya, selatan Thailand, Selatan Filipina. Tetapi pasti ada perkara lain yang perlu kita lakukan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan akan lebih bersungguh-sungguh dalam membuat penilaian yang adil terhadap perkembangan termasuk peranan dan sumbangan oleh gerakan Islam.

Tambahnya, ia termasuk membezakan Islam agar tidak dipengaruhi dengan perkara-perkara yang melibatkan golongan bukan Islam.

“Kuasa besar suka melabel sesetengah pertubuhan Islam sebagai teroris. Jadi kita jangan terikut dengan label itu, kita harus mempunyai penilaian sendiri tentang label-label tersebut kerana itu kita hendak meletakkan Malaysia memainkan peranan sebagai sebuah negara Islam yang maju, inklusif dan progresif,” katanya lagi.

Saifuddin menambah, kerajaan juga akan menggunakan pendekatan maqasid syariah iaitu melihat objektif syariah yang lebih tinggi dalam melihat peranan demokrat Muslim dan kemajmukan Islam khususnya pengalaman hidup di alam Melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast