KUALA LUMPUR – Walaupun Belanjawan 2019 diramal ‘sukar’ dan ‘tiada janji manis’ namun pembentangan itu diharapkan tidak menjejaskan usaha pembangunan modal insan berkemahiran yang menjadi tonggak utama pembangunan ekonomi.

Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) mahu belanjawan kali ini banyak memfokuskan kepada soal meningkatkan kemahiran pekerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Setiausaha Agungnya, Mohammad Rizan Hassan berkata, kebergantungan kepada pekerja asing boleh dikurangkan apabila industri/majikan bersedia untuk mengalihkan bayaran levi pekerja asing dengan membayarkan pinjaman latihan kemahiran lulusan Pendidikan Teknikal dan Vokasional TVET.

Dengan cara ini, majikan membantu kesejahteraan ekonomi pekerja, penajaan dan ikatan kontrak untuk suatu tempoh yang dipersetujui dengan pekerja dan pekrja tidak terbeban dengan bayaran balik pinjaman latihan kemahiran, jaminan peluang penempatan pekerjaan, mendapat persijilan terhadap kemahiran yang diterima.

Malah, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran mempunyai dana yang cukup melalui pembayaran balik yang cepat dalam tempoh yang singkat.

Tambahnya, pembaziran dan pertindihan urus tadbir TVET membabitkan kementerian perlu dinoktahkan kerana Malaysia memerlukan satu kerangka hala tuju TVET yang baharu dan jelas.

“Kuatkuasakan serta-merta satu badan akreditasi latihan iaitu Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan satu badan pengiktirafan professional iaitu Lembaga Teknologi Malaysian (MBOT).

“Kaedah “Apprenticeship” yang diterajui industri perlu digerakkan berskala besar dan bersifat mesra kepada industri dengan mengurangkan karenah birokrasi di pihak kerajaan dalam aspek urustadbir dan penyampaian latihan,” katanya.

Tambah beliau lagi, perlaksanaan Kerjasama Awam-Swasta diperlukan dalam penyampaian latihan TVET memandangkan bidang kemahiran memerlukan pelaburan sederhana ke bawah boleh dilaksanakan melalui Konsep 3P manakala bidang
kemahiran berteknologi tinggi dilaksanakan oleh institusi awam.

Dana untuk bantuan pinjaman latihan kemahiran di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) perlulah ditingkatkan kepada RM1 bilion setahun yang mana 80 peratus hendaklah difokuskan kepada lepasan sekolah menengah

Sistem kuota juga perlu dihapuskan sebaliknya dibuka sepenuhnya permohonan pinjaman latihan kemahiran kepada mereka yang ingin mendapatkan latihan TVET.

“Kerajaan juga perlu menghapuskan “double-standard” di antara institusi awam dan swasta, yang mana semua pelajar aliran TVET hendaklah membuat pinjaman dari PTPK dan bukan lagi percuma bagi sesetengah institusi kemahiran awam,” kata Mohammad Rizan.

Menurut beliau, isu TVET telah dibangkitkan beberapa kali di Sidang Dewan Rakyat dan sudah sampai masanya kerajaan mengambil tindakan serta-merta dan memuktamadkan permasalahan ini agar industri tidak terus terkesan dengan kegagalan mendapatkan tenaga kerja mahir di kalangan rakyat tempatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast