Najib Tun Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Jangan bebankan rakyat dengan cukai tambahan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu bimbang cukai baharu juga akan diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan esok.

“Sejak bulan lalu, naratif yang dibuat kerajaan PH di mana belanjawan 2019 ini adalah belanja pengorbanan.

“Daripada menjanjikan bulan dan bintang (semasa kempen PRU-14) ia (mungkin) berubah kepada bajet tuntut pengorbanan rakyat,” ujarnya dalam siaran langsung menerusi media sosialnya petang tadi.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan menegaskan, sekiranga kerajaan Barisan Nasional (BN) masih berkuasa mereka sudah ada perancangan untuk memberi bantuan dan manfaat kepada rakyat secara berterusan.

“Tahun ini kenaikan khas pegawai awam tidak dapat dilakukan sebab langkah mereka buat menyifarkan GST telah menyebabkan kehilangan hasil besar ditambah dengan tax holiday selama tiga bulan dan SST tidak efisien daripada segi kutipan hasil berbanding GST,” ujarnya.

Ia menurut Najib menyebabkan hasil negara berkurangan yang begitu ketara lebih RM50 bilion.

“Mereka (kerajaan PH) harap harga turun tidak berlaku bila perkenal SST, harga terus meningkat, bila ringgit kian lemah akan menyumbang kadar inflasi,” ujarnya lagi.

Sambil mengakui sedih dengan apa yang berlaku, Najib mendakwa semasa pemerintahan BN, kerajaan akan memulangkan semula setiap sen daripada GST dan cukai kepada rakyat melalui pelbagai program.

Semasa BN, katanya, belanjawan sangat inklusif dan setiap kelompok dapat impak positif.

Beliau juga membayangkan kumpulan mudah terjejas seperti nelayan, pekebun kecil dan pesawah akan terasa dengan bahang yang berlaku.

“Melihat perkembangan yang ada kemungkinan bantuan tidak dapat diteruskan dan dipotong umpama bantuan RM200 untuk penoreh getah pada musim hujan, RM300 kepada nelayan pada musim tengkujuh tidak dapat diteruskan oleh PH.

“Ada penorah getah terima RM8 sehari, sawit harga RM300 setan sebab itu jika pergi Felda sekarang keadaan suram sebab mereka terima pendapatn jauh lebih rendah berbanding dahulu,” ujarnya.

Najib juga menyentuh soal kadar pengangguran yang semakin meningkat kerana permintaan ekonomi yang menguncup.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast