Kapal mewah ‘Equanimity’ yang dipercayai milik seorang ahli perniagaan, Jho Low tiba di Terminal Bousthead Cruise Center, Pelabuhan Klang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 07 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Kapal mewah Equanimity milik ahli perniagaan, Jho Low akan mula menerima bidaan antarabangsa dalam tempoh sebulan dari tarikh 5 November 2018.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Parlimen hari ini.

Pada 19 Oktober lepas, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kapal mewah Equanimity sebagai milik kerajaan Malaysia dan 1MDB selepas pemilik berdaftar gagal hadir menuntut kapal itu dan kerajaan kini boleh menjual kapal itu.

Mahkamah juga memutuskan dua syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited sebagai pemilik sah dan benefisiari kapal berkenaan, sehubungan itu, secara tidak langsung kerajaan Malaysia adalah benefisiari kedua-dua syarikat itu.

Ong Chee Kwan, peguam bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, Mahkamah Admiralti juga telah meluluskan terma dan syarat bagi proses bidaan yang akan berlangsung selama sebulan, mereka yang berminat untuk membeli kapal mewah Equanimity itu perlu bayar deposit sebanyak AS$1 juta (RM4.17 juta). – MalaysiaGazette