Pesawat Lion Air disahkan berkecai akibat hentaman kuat selepas terhempas di permukaan laut di perairan Tanjung Karawang pada 29 Okt lepas.
Pesawat Lion Air disahkan berkecai akibat hentaman kuat selepas terhempas di permukaan laut di perairan Tanjung Karawang pada 29 Okt lepas.

JAKARTA – Pesawat Lion Air disahkan berkecai akibat hentaman kuat selepas terhempas di permukaan laut di perairan Tanjung Karawang pada 29 Okt lepas.

Ketua Komite Nasional Keselamatan Transportasi Indonesia (KNKT) Soerjanto Tjahjono berkata pesawat itu tidak meletup di udara, sebaliknya berkecai selepas terhempas di laut akibat kelajuan tinggi dan hentaman kuat.

“Pesawat itu meledak atau pecah (berkecai) selepas menyentuh air, serpihan-serpihan pesawat ditemui berselerakan di radius 250 meter di dasar laut,” katanya.

Setakat operasi pencarian pesawat itu yang memasuki hari ke-9 hari ini, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui serpihan-serpihan pesawat, enjin dan roda pesawat, barangan milik peribadi penumpang serta cebisan dan anggota mayat para penumpang.

Pada Khamis (1 Nov lepas), pasukan SAR menemui “perakam data penerbangan (FDR) pesawat, dan kini fokus pencarian adalah kepada sebahagian lagi kotak hitam pesawat itu iaitu “Cockpit Voice Recorder (CVR)”.

Operasi SAR yang menggunakan teknologi canggih seperti teknologi sonar, menemui FDR itu kira-kira 500 meter dari koordinat pesawat itu terhempas.

Penerbangan JT610, yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal, terhempas di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628 selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 29 Okt pukul 6.20 pagi.

Operasi SAR itu turut mengorbankan seorang penyelam awam, Syachrul Anto, 48, seorang penyelam dari Indonesia Diving Rescue Team pada 3 Nov lepas akibat mengalami “decompression sickness”.

Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Muhamad Syaugi berkata fokus operasi kini bertumpu di koordinat yang ditemui alat FDR, namun menghadapi kesukaran berikutan isyarat ‘ping” dari CVR itu telah gagal dikesan sejak dua hari lepas.

“Setakat hari ini, 164 kantung (beg jenazah) telah dihantar ke Rumah Sakit Polis Indonesia untuk proses identifikasi, kantung itu terdiri daripada 429 cebisan anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Setakat ini juga, sebanyak 27 jenazah dikenalpasti menerusi ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA).

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast