Wan Azizah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kelihatan hiba ketika berucap pada Majlis Penutupan Hari Puteri Peringkat Kebangsaan Pergerakan Puteri Islam Malaysia 2018 di Kompleks Darul Puteri, Jalan Cheras, Selangor. foto AFIQ RAZALI 11 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Walaupun telah disahkan berada di bawah pengaruh dadah, suspek dera bayi perempuan sembilan bulan sehingga menyebabkannya maut di Bandar Baru Bangi semalam bukan satu alasan untuk ‘melepaskan’ suspek begitu sahaja.

Sebaliknya, menurut Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, perbuatan suami kepada pengasuh bayi itu sebenarnya sungguh kejam dan tidak berperikemanusian langsung sehingga tergamak merogolnya.

Kata Wan Azizah, beliau terkejut dan masih lagi tidak dapat menerima hakikat perbuatan sekejam itu mampu dilakukan oleh manusia biasa.

“Adakah tahap kemanusian kita sebenarnya sudah lebur? Adakah kita sudah hilang pertimbangan dengan begitu sekali. Saya hilang kata-kata apabila diberitahu tentang insiden ini. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana seseorang dapat memperlakukan bayi itu sebegitu rupa.

“Ingin saya tegaskan di sini, walaupun suspek yang telah ditangkap itu dipercayai bawah pengaruh dadah, pengadilan serta hukuman yang berat perlu dilaksanakan bagi menangani perkara ini. Malah saya berharap, ianya juga dapat memberi pengajaran setimpal kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mennghadiri majlis penutup Hari Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) di Dewan Toh Puan Norashikin, Kompleks Darul Puteri, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Wan Azizah yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri mengulas kejadian seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan meninggal dunia kerana didera secara kejam oleh suami kepada pengasuh bayi tersebut Khamis lepas.

Bayi itu bukan sahaja mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul menggunakan alat tumpul malah ada kesan koyakan baru pada selaput dara serta dubur mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, mangsa meninggal dunia pada jam 10.30 pagi semalam, selepas dua hari dilaporkan kritikal di Hospital Serdang dekat sini.

Hasil bedah siasat Jabatan Patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa disebabkan impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala, dengan tempurung kepala bayi pecah.

“Selain itu, terdapat kesan lebam pada bahagian atas kepala kiri dan kanan mangsa. Ibu bapa mangsa yang menetap di kawasan perumahan sama dengan pengasuhnya itu menghantar bayi mereka ke rumah berkenaan sejak September lepas,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya menahan pengasuh serta suaminya yang bekerja sebagai penggunting rambut didapati positif dadah ketika ditahan.

Dalam pada itu, Wan Azizah turut menyeru kepada mana-mana pusat asuhan yang belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk segera melakukan demikian.

Kata beliau, apa yang lebih dikesalkan oleh pihaknya, pengasuh kepada bayi sembilan bulan itu sebenarnya tidak didaftar di bawah JKM.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Norsheila Abdullah berkali-kali menyeru pengasuh persendirian yang berdaftar mengambil berpeluang mengikuti kursus asas latihan yang telah ditetapkan oleh JKM.

“Berdasarkan kes-kes sebelum ini, tragedi malang itu kebanyakannya berlaku di bawah jagaan pengasuh persendirian yang tidak terlatih dan tidak berdaftar.

“Jadi, ini yang memberi tekanan kepada kami sebagai pusat asuhan berdaftar, kerana menjadi mangsa keadaan perbuatan pengasuh persendirian yang tidak berdaftar dan beroperasi seperti biasa.

“Untuk memastikan perkara ini tidak berulang, pengasuh persendirian yang memberi perkhidmatan asuhan di rumah perlu mendapatkan lesen dan latihan yang telah ditetapkan,” ujarnya. –MalaysiaGazette