Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama ahli-ahli Pergerakan Puteri Islam Malaysia dan tetamu yang hadir pada Majlis Penutupan Hari Puteri Peringkat Kebangsaan Pergerakan Puteri Islam Malaysia 2018 di Kompleks Darul Puteri, Jalan Cheras, Selangor. foto AFIQ RAZALI 11 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu siasatan menyeluruh berhubung krisis pemilihan parti itu dijalankan secara neutral dan telus tanpa mengambil kira kepentingan pihak tertentu.

Jelas beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, dirinya sedia maklum dengan dakwaan peningkatan keahlian mendadak di cabang Julau, Sarawak sehingga meninggalkan rasa tidak senang dalam kalangan kepimpinan parti itu sendiri.

Bagaimanapun, kata Wan Azizah, beliau menyerahkan tugas untuk menyiasat tentang perkara tersebut kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) supaya perkara ini dapat ditangani dengan cara paling telus.

“Saya tidak nafikan tentang masalah serta konflik yang wujud ini. Tetapi kini parti ini mempunyai jumlah anggota yang sangat ramai berbanding dulu. Memang secara logiknya kita hadapi masalah.

“Saya mahukan JPP untuk menyiasat dan cari punca kepincangan kepada permasalahan ini. Kita perlu tangani isu ini dengan baik sekali. Dulu mungkin ahli tidak seramai ini. JPP telah diamanahkan untuk tangani masalah ini secara telus serta neutral.

“Saya tidak mahu nyatakan sokongan terbuka saya kepada calon yang menjadi ‘pilihan’ saya,” katanya sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang pemilihan PKR di Julau yang tidak sunyi dengan pelbagai kontroversi termasuk peningkatan mendadak sehingga mencecah hampir 13,000 keahlian.

Selain daripada itu, pemilihan PKR Julau juga digantung selepas dakwaan calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli ada terlihat kelibat seseorang ‘mengusik’ tablet ketika proses pengundian.

Kata Rafizi perisian jenis ‘Prey’ telah dipasang dan mampu dikawal dari jauh oleh seseorang yang berkepentingan dalam kemenangan pemilihan ini.

Tetapi pakar teknologi mengatakan aplikasi Prey yang didkawa oleh Rafizi sebenarnya perisian anti kecurian dan bukan sebaliknya.

Pemilihan PKR di Sarawak berkemungkinan menjadi penentu kepada jawatan calon Timbalan Presiden parti itu antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Sebelum ini, Mohamed Az­min serta beberapa pemimpin termasuk Zuraida mempersoalkan jumlah ahli di Julau yang meningkat mendadak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Mohamed Azmin semalam turut mendesak Saifuddin Na­sution mengambil serius masalah yang berlaku di cabang berkenaan yang menurutnya boleh menyebabkan parti ‘jahanam’ jika tidak ditangani de­ngan berkesan. – MalaysiaGazette