Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Laporan 2014 mendedahkan lebih satu pertiga perkahwinan pertama berakhir dengan penceraian atau perpisahan dalam tempoh lima tahun usia perkahwinan.

Antara punca perpisahan serta perceraian ini juga adakalanya ‘pelik’ dan remeh temeh seperti isteri suka membasuh baju pada waktu malam, suami tidak suka isteri makan dalam kereta, pasangan berdengkur, beli belah, berbeza fahaman politik.

Ada juga isu seperti isteri suka ikut rombongan dan gaji suami yang rendah juga merupakan antara alasan untuk bercerai.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh melahirkan kegusaran ketika melihat statistik Jabatan Kehakiman Syariah Selangor apabila isu kecil serta remeh menyumbang kepada masalah rumah tangga sehingga bercerai.

“Saya membaca sebab-sebab ini kerana hendak menunjukkan realiti faktor penceraian sekarang sangat serius kerana perkara-perkara remeh digunakan sebagai punca untuk memfailkan permohonan cerai.

“Punca utama berlakunya penceraian pada perkahwinan pertama bagi lelaki ialah tiada persefahamaan sebanyak 56.2 peratus manakala isteri curang 11.8 peratus selain campur tangan mentua, ipar duai 10 peratus.

“Bagi wanita pula, sebanyak 38.0 peratus menyatakan tiada persefahamaan, suami curang 20.5 peratus dan suami tidak bertanggungjawab 15.2 peratus. Banyak pula kes remeh dalam pasangan muda. Membimbangkan,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mengulas pertanyaan Ahli Parlimen Kangar (PH), Noor Amin Ahmad yang meminta Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat menyatakan jumlah kes penceraian direkodkan bawah lima tahun dan cara-cara untuk menanganinya.

Hannah yang merupakan Ahli Parlimen Segambut kemudian dicelah oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang secara berseloroh memintanya jangan membasuh baju pada waktu malam.

“Jangan basuh baju malam-malam YB. Hantar ke dobi terus,” katanya sambil Dewan gamat seketika.

Hannah dalam jawapan balasnya berkata, beliau tidak terdaya sehingga terpaksa juga membasuh baju pada waktu malam kerana sidang Dewan Rakyat seringkali habis lewat.

Tambah beliau, mengikut statistik kementerian terdapat 2,932 kes perceraian di seluruh Wilayah Persekutuan bagi orang Islam antara 2013 dan 2017, manakala data di negeri lain masih dalam proses pengumpulan maklumat ketika ini.

“Bagi yang bukan Islam pula, statistik dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan ada 14,440 kes perceraian di bawah usia perkawinan lima tahun bagi 2013 hingga 2017.

“Dalam tempoh berkenaan Johor paling tinggi iaitu 2,860 kes diikuti Wilayah Persekutuan 2,771 kes dan Selangor 1,858 kes,” ujarnya.

Kata Hannah, ketika ini kerajaan melalui kementeriannya berterusan melakukan usaha memantapkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan melalui program pra dan pasca perkahwinan khusus bagi penyediaan asas kukuh keluarga bahagia terutamanya pasangan muda. – MalaysiaGazette