Maszlee
Gelagat Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bertanyakan sesuatu dengan calon ketika meninjau calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya, Presint 16 (1), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 NOVEMBER 2018

PUTRAJAYA – “Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta saya untuk merombak kokurikulum sekolah dan bukan rombakan Kabinet,”.

Demikian menurut Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung desas desus namanya akan digugurkan dalam rombakan Kabinet, bulan depan.

“Itu cuma khabar angin sahaja. Saya tahu ketika bertemu dengan Tun Dr Mahathir minta saya buat rombakan kepada kokurikulum, bukan rombakan Kabinet.

“Dan semalam Tun sudah berkata kepada media dan menyatakan perkara itu. Takkanlah bila dia suruh saya buat perkara yang perlukan komitmen selama 4 tahun lagi, dia nak rombak,” katanya semasa mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1) sempena hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Semalam, media melaporkan akan berlaku rombakan Kabinet pada Disember depan dengan dua menteri digugurkan.

Antaranya adalah Maszlee dan Menteri Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun kerana tidak puas hati dengan prestasi beberapa menteri di bawah PPBM.

Kuota itu akan diganti oleh Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Ahli Parlimen Sri Gading yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, khabar angin itu dicetus untuk mengalihkan isu sebenar mengenai bekas kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Semalam Tun sudah (maklum) saya ubah kokurikulum, takkan dia tidak puas hati. Jadi pada saya, media patut ambil kenyataan yang sahih daripada Tun sendiri dan bukan daripada khabar angin.

“Kita tahu sebenarnya khabar angin ini timbul untuk mengalihkan perhatian daripada isu Najib, Rosmah dan Manta Menteri Pelajaran yang telah dihadapkan ke SPRM dan ini salah satu taktik UMNO untuk melarikan kita daripada isu sebenar.

“Jadi saya harap pihak media tidak terpengaruh dengan taktik kotor walaupun mereka berada di pihak pembangkang mereka masih kekal dengan kekotoran mereka,” katanya.

Malah semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, isu rombakan Kabinet hanya sekadar spekulasi dan ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat PH.

Katanya, beliau tidak mendengar kemungkinan Dr Mahathir akan melakukan rombakan Kabinet dalam masa terdekat. -MalaysiaGazette