Mohamad Hasan
Mohamad Hasan.

KUALA LUMPUR – Cubaan mengaitkan Deklarasi Setapak dengan tuntutan agar DAP menyokong Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hanya membuktikan parti itu mahu menjayakan ideologi Malaysian Malaysia di negara ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, desakan itu menunjukkan DAP tetap berkeras dan konsisten mahu mengubah wajah dan karakter sebenar Malaysia.

“Mereka semakin ghairah untuk merealisasikan kandungan Deklarasi Setapak setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14 bukan persetujuan rakyat Malaysia untuk menghapuskan label ‘bumiputera’ dan ‘bukan bumiputera’.

“Penghapusan keistimewaan Bumiputera bukan sebahagian daripada manifesto PH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Jumaat lepas, Ahli Dewan Undangan Tras, Chow Yu Hui dan Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Kong menyatakan pengisytiharan Deklarasi Setapak adalah bukti kepercayaan DAP bahawa prinsip kesaksamaan antara kaum mesti diterapkan dalam proses pembangunan negara.

Dalam Deklarasi Setapak, pendirian DAP sangat tegas dan kukuh bahawa warganegara Malaysia tidak harus diasingkan dengan label ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’.

Mohamad juga berkata, mengubah karakter Malaysia adalah cita-cita dan aspirasi politik yang sangat berbahaya dalam Malaysia yang sangat pluralistik dan berbilang bangsa.

“DAP dan PH tidak mempunyai mandat daripada rakyat Malaysia untuk berbuat sesuka hati mereka walaupun meraih kemenangan dalam pilihan raya lepas.

“Kedua-dua Adun ini harus faham, konsep Bumiputera dan bukan Bumiputera adalah natijah dari persetujuan pelbagai pihak yang menggubal Perlembagaan.

“Penggubal Perlembagaan kita menyedari bahawa perlu wujud asas dan kerangka Perlembagaan yang menggambarkan fabrik sebenar tanahair kita,” katanya.

Katanya lagi, konsep bumiputera dan bukan bumiputera bukan bertujuan untuk mendiskriminasikan mana-mana kaum sebaliknya mengelakkan polarisasi, mengurangkan kesenjangan dan mewujudkan keseimbangan antara kaum dalam negara ini.

“Dengan mewujudkan mekanisme mengiktiraf kedudukan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini, ia mewujudkan persefahaman kaum dan akhirnya terbitlah keharmonian yang diperlukan Malaysia membangun sebagai sebuah negara berdaya saing,” katanya.

Beliau turut berkata, mana-mana usaha menghapuskan label bumiputera dan bukan Bumiputera akan menjerumuskan Malaysia ke kancah konflik perkauman yang sangat tidak diingini.

“Amatlah naif, malah tidak bertanggungjawab, untuk DAP beranggapan bahawa semua bumiputera sudah mempunyai daya tahan dan daya saing yang mencukupi untuk bersaing atas lapangan yang sama rata.

“Jika pun mereka mempunyai kebolehsaingan, tidak mungkin orang Melayu dan bumiputera akan dengan mudah melupuskan sahaja kedudukan istimewa seperti yang diperuntukkan secara sah dan termaktub dalam perlembagaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette