P.Ramasamy

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy mendakwa Pakatan Harapan (PH) semakin kehilangan sokongan dan undi masyarakat India.

Beliau berkata, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu semalam kurang daripada 50 peratus pengundi India keluar mengundi.

“Pada masa akan datang komuniti India akan terus memboikot atau tidak mengundi calon PH.

“Pengundi India tidak terkesan dengan pengumuman projek perumahan RM75 juta untuk pekerja ladang di lima ladang di kawasan Bestari Jaya,” katanya di laman Facebook milik beliau, hari ini.

Calon PH dari DAP, Pang Sock Tao menang pada pilihan raya itu dengan majoriti 3,869 undi.

Menurut Ramasamy, komuniti India juga tidak teruja dengan pengumuman projek pembangunan di kawasan Hulu Selangor yang bernilai jutaan ringgit.

Tambah bekas pemimpin DAP itu, perasaan tidak berpuas hati dalam kalangan masyarakat India terhadap PH sudah bermula sejak PRN 2023 dan ia berterusan sehingga kini.

Ramasamy berkata, peningkatan sokongan pengundi Melayu yang mengundi PH kali ini kerana janji yang ditawarkan oleh kerajaan Perpaduan termasuk kenaikan gaji 13 peratus untuk penjawat awam,

“Masyarakat Cina akan terus menyokong DAP kerana mereka tidak ada alternatif lain ketika ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast