.
Kapal mewah Equanimity kini dikenali sebagai Tranquility

KUALA LUMPUR – Kapal layar mewah yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu Equanimity tiba di Langkawi, Kedah hari ini untuk tujuan simpanan.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Langkawi, Supritenden Mohd. Iqbal Ibrahim yang turut memberitahu kapal itu kini berlabuh di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut di sana.

“Dua buah bot peronda polis iaitu PA45 dan PSC18 bersama sebuah kapal perang TLDM, KD Teguh telah mengiringi kapal layar itu sepanjang perjalanan sebelum tiba di sini pukul 10.35 pagi tadi,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau bagaimanapun, tidak menyebut tempoh masa kapal mewah itu akan berada di Langkawi dan hanya menyatakan ia akan dikawal oleh TLDM di pangkalan mereka sepanjang berada di sini.

Ketibaan bot telah menarik minat ramai netizen selepas foto kapal layer berharga RM1 bilion itu berlabuh di jeti pangkalan TLDM tular di media sosial.

Media hari ini turut melaporkan kapal tersebut berlepas dari Pelabuhan Klang pukul 10.18 pagi semalam yang mengambil masa perjalanan kira-kira lapan jam dengan kelajuan 8.6 knot berdasarkan laman sesawang Marine Traffic.

Kapal Equanimity itu tiba Pelabuhan Klang pada Ogos lalu selepas ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia awal tahun ini.

Sebelum itu, pada 26 Oktober lalu, terma dan syarat berhubung proses penjualan kapal mewah, Equanimity berjaya diselesaikan di Mahkamah Tinggi (Admiralti) Kuala Lumpur.

Peguam Ong Chee Kwan bersama barisan peguam yang menuntut hak bagi kerajaan ke atas Equanimity memberitahu, perkara berbangkit itu dapat diselesaikan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Khadijah Idris bagi mendapatkan arahan mahkamah berhubung penjualan aset tersebut, iklan dan proses membida.

Proses membida Equanimity akan bermula Isnin ini dan berakhir 28 November ini. – MalaysiaGazette