Najib Tun Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak semakin aktif dan agresif dalam ‘menegur’ menteri Kabinet – jika dahulu Lim Guan Eng sering menjadi sasaran dan beberapa hari ini giliran Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik pula.

Dalam posting terbaharu, bekas Perdana Menteri itu menyindir Maszlee dengan menyatakan beliau hanya guna Facebook untuk bersuara sedikit sahaja tetapi Menteri Pendidikan itu sudah ‘tercungap-cungap’ berlari mengembalikan baucar buku.

“Belum lagi mahasiswa-mahasiswi kita mogok lapar, guling-guling atas jalan raya. Pengsan Maszlee nanti,” sindirnya tetapi menyifatkan pertimbangkan pemberian baucar buku kepada mahasiswa sebagai u-turn kerajaan yang baik.

Maszlee baru-baru ini berkata, Kementerian Kewangan sedia mempertimbangkan untuk memberi baucar buku kepada mahasiswa bagi mengurangkan bebas kos, selain mendakwa ia adalah perjuangannya kepada penuntut-penuntut universiti.

Hari ini, Najib mengajak graduan dan mahasiswa menuntut Kerajaan PH supaya mengembalikan dasar pengecualian bayaran balik PTPTN atau biasiswa kepada semua graduan yang mendapat Ijazah Kelas Pertama, diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman dan diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang.

Beliau juga mahu mahasiswa menuntut diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit, kekalkan dasar tempoh pembayaran balik pinjaman daripada 6 bulan kepada 12 bulan setelah tamat pengajian dan mengekalkan Pemberian Insentif Khas Geran Sepadan RM500 kepada pencarum Skim Simpanan Pendidikan Nasional SSPN.

Tegas Ahli Parlimen Pekan itu, jika kerajaan tidak boleh hormati dan tepati janji untuk hapuskan atau tangguh PTPTN, sekurang-kurangnya kembalikan apa yang pernah beliau berikan dulu ketika Barisan Nasional menerajui negara.

“Ini semua yang saya umumkan dalam Bajet 2018 BN tahun lepas,” katanya.

Dengan penuh sinis, Najib berkata: “Jika dulu saya dan Kerajaan BN dengan Bajet RM280 bilion sahaja boleh buat, hari ini tak ada alasan Kerajaan PH yang bangga sangat dengan bajet lebih RM300 bilion tak boleh buat!”. – MalaysiaGazette