bola sepak
Harry Kane (kanan) bersorak selepas berjaya menyumbat gol ke pintu pasukan Croatia dalam perlawana di Stadium Wembley awal pagi tadi.

LONDON – England berjaya menumpaskan Croatia 2-1 dalam aksi perlawanan Liga Negara-Negara Eropah yang berlangsung awal pagi tadi.

Meskipun pada awalnya ketinggalan dengan mata 1-0, namun, England bangkit mencari mata kemenangan diakhir perlawanan.

England bermula garang dengan Raheem Sterling dan Harry Kane beberapa kali berpeluang untuk meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada babak pertama menentang pemain Croatia yang nampak keletihan.

Namun, ketika 12 minit separuh masa kedua bersambung, England ketinggalan selepas penyerang Croatia Andrej Kramaric menggelecek pertahanan England John Stone sebelum melepaskan rembatan terkena Eric Dier yang mengelirukan penjaga gol Jordan Pickford.

England bagaimanapun tetap tidak mengalah sebaliknya terus mengasak sebaik kemasukan pemain gantian Dele Alli dan Jadon Sancho.

Ketika situasi kelam kabut di dalam kotak penalti, Jesse Lingard pantas menolak masuk bola untuk gol penyamaan England pada minit ke-78.

Lima minit sebelum permainan sebenar tamat, kapten pasukan Kane mencuri tumpuan dengan meledak gol antarabangsa ke-20 bagi memastikan kemenangan England dan menyingkirkan Croatia.

Tiga mata yang diraih itu membolehkan England menamatkan kempen di tangga teratas dengan tujuh mata diikuti Sepanyol enam mata dan Croatia empat mata. – MalaysiaGazette