Sebahagian papan tanda jalan yang mempunyai tulisan cina akan digantikan dengan satu bahasa sahaja iaitu Bahasa Melayu atas titah D.Y.M.M. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Pekan Subang, Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 19 NOVEMBER 2018

SHAH ALAM – Kerja-kerja menurunkan papan tanda yang mempunyai tulisan bahasa Cina di sini sedang dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka selesai dalam masa terdekat, demikian menurut Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Dalam satu kenyataan di sini, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata tindakan segera telah diambil oleh pihaknya dengan menurunkan papan tanda berkenaan pada hari ini.

“MBSA menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor agar papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina digantikan dengan papan tanda jalan yang memaparkan bahasa Melayu sahaja,” katanya.

Sultan Sharafuddin semalam dilaporkan menitahkan supaya semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggalkan dan digantikan dengan papan tanda jalan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

Titah itu disampaikan oleh Setiausaha Sulit baginda Datuk Mohamad Munir Bani menerusi surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Datuk Bandar Shah Alam Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Menurut kenyataan itu operasi penukaran papan tanda jalan berkenaan hendaklah dilaksanakan dengan segera dan diselesaikan selewat-lewatnya sebelum tarikh sambutan ulang tahun hari keputeraan ke-73 Sultan Selangor pada 11 Dis ini. Sebelum ini, seorang penduduk Shah Alam memuat naik kenyataan menerusi laman Twitternya mempersoalkan kewajaran papan tanda jalan di kawasannya dalam bahasa Cina.

Kenyataan itu yang tular dalam media sosial turut mempersoalkan kedudukan tulisan Jawi yang sebelum ini digunakan pada papan tanda jalan tersebut.

MBSA ketika memberi maklum balas kepada pengguna Twitter tersebut memaklumkan bahawa mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor yang diadakan pada 13 Jan 2017 telah memutuskan penggunaan papan tanda nama jalan dwibahasa selain tulisan Rumi.

Menurut MBSA, penggunaan nama jalan di kawasan kampung tradisi menggunakan tulisan Jawi manakala di kawasan kampung baharu menggunakan tulisan bahasa Cina bersesuaian dengan komuniti penduduk di kawasan tersebut.

— BERNAMA

Sultan Selangor titah turunkan papan tanda bahasa Cina
Daily Life – Papan Tanda Dua Bahasa

Kerajaan Selangor akur, papan tanda jalan tulisan Cina akan ditanggalkan

Papan tanda bahasa Cina, itu keputusan kerajaan negeri – Khalid Samad