Najib Tun Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Masyarakat luar bandar secara terang-terangan telah diabaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan meskipun Menteri Kewangan berusaha keras menafikannya.

Ini dapat dibuktikan apabila Menteri Industri Utama Teresa Kok dalam kenyataannya pada 2 November lalu memaklumkan peruntukan untuk kementeriannya dipotong sehingga 50.7 peratus.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Datuk Johari Abdul juga pernah sebak di Dewan Rakyat pada 12 November lalu kerana kesal dengan pemotongan pelbagai subsidi untuk petani dan pekebun dalam bajet 2019.

Datuk Seri Najib Razak berkata, meskipun Lim Guan Eng memberitahu peruntukan untuk Mara tidak turun.

Tetapi, anehnya, kata beliau, Guan Eng berkata, peruntukan untuk biasiswa MARA untuk tahun depan tidak hilang tetapi telah diklasifikasikan semula sebagai perbelanjaan pembangunan sebanyak RM2 bilion dan bukan lagi sebagai perbelanjaan operasi.

Namun ia masih membuat potongan RM500 juta berbanding peruntukan RM2.5 bilion untuk tahun ini ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), tambah bekas Perdana Menteri itu.

Tidak cukup dengan itu, lebih melucukan lagi apabila Guan Eng menyatakan peruntukan untuk Felda telah ditambah dan bukan dipotong serta memberi contoh bahawa dana untuk membaiki dan membina jalan raya dan peningkatan bekalan air telah dinaikkan kepada RM260 juta bagi tahun 2019.

“Ya, ini merupakan kenaikan berbanding peruntukkan RM200 juta untuk tahun ini.

“Tetapi, Bajet 2018, BN bagi Felda juga memberi dana RM60 juta untuk program tanaman semula sawit, peruntukan sebanyak RM164 juta bagi membina 5,000 unit Rumah Generasi Kedua Felda dan insentif khas sebanyak RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka Felda di seluruh negara melibatkan peruntukan berjumlah RM474.78 juta,” katanya.

Menurut Najib, semua peruntukan itu telah hilang dalam belanjawan 2019, ketika harga sawit dan getah sangat rendah, yang mana bantuan patut dinaikkan.

“Bukan diturunkan atau dimansuhkan,” ujarnya sambil berkata bayaran BR1M yang kebanyakkan diberi kepada masyarakat luar bandar pun sudah dikurangkan atau dimansuhkan. Masih mahu nafi?

“Ini semua ditulis secara hitam putih di dalam belanjawan 2019 tetapi, Menteri Kewangan masih mahu menafikannya?

“Oh ya, manifesto PRU14 juga di tulis secara hitam putih tetapi masih boleh terus berbohong dan berdolak-dalik,” sindir Najib lagi. – MalaysiaGazette

Guan Eng nafi peruntukan luar bandar untuk bumiputra diketepikan